ANTARA penumpang yang terkandas di LTAK selepas penerbangan ke Kuala Lumpur dibatalkan hari ini. FOTO Nadim Bokhari
ANTARA penumpang yang terkandas di LTAK selepas penerbangan ke Kuala Lumpur dibatalkan hari ini. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Ratusan penumpang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini selepas beberapa penerbangan ke Semenanjung dibatalkan sejak pagi tadi.

Ia berikutan semua penerbangan dari Sarawak ke Kuala Lumpur dibatalkan susulan letusan Gunung Ruang, Indonesia.

Tinjauan mendapati ramai penumpang masih menunggu di LTAK berikutan ada yang datang dari jauh antaranya Sri Aman, Balai Ringin dan Betong.

Seorang penumpang Malaysia Airlines (MAS), Razali Jamali, 36, dari Betong berkata, beliau sepatutnya menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur pada 10 pagi, namun setibanya di LTAK beliau dimaklumkan penerbangan dibatalkan.

"Saya masih menunggu di sini untuk mengikuti perkembangan seterusnya kerana saya perlu balik ke Kuala Lumpur, hari ini atas urusan penting.

"Setakat ini, kami belum menerima perkembangan terkini sama ada penerbangan dibenarkan petang nanti," katanya.

Muhd Luqman Daniel, 21, pula berkata, beliau menerima mesej daripada AirAsia menerusi e-mel memaklumkan penerbangannya ke Kuala Lumpur petang ini turut dibatalkan.

"Pihak AirAsia memaklumkan akan mengemaskini perkembangan dan dimaklumkan terus kepada penumpang.

"Mereka juga meminta penumpang bersabar kerana kesulitan itu disebabkan faktor keselamatan," katanya.

Sebanyak lapan penerbangan MAS dari Sarawak ke Kuala Lumpur dibatalkan sejak pagi tadi.

Ia membabitkan penerbangan MAS dari Kuching, Miri dan Bintulu.

AirAsia pula membatalkan 16 penerbangan dengan semua penumpang terjejas boleh membuat perubahan sekali kepada mana-mana tarikh perjalanan baharu dalam tempoh 30 hari dari tarikh berlepas asal pada laluan yang sama tanpa kos tambahan, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

Gunung Ruang yang terletak kira-kira 100 kilometer dari ibu kota wilayah Manado, meletus sejak semalam.

Letusan gunung berapi itu susulan gempa bumi baru-baru ini mencetuskan keadaan berbahaya kerana mengeluarkan asap panas.

Senarai penerbangan MAS dan AirAsia yang dibatalkan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 2:01 PM