ORANG ramai menyerbu kaunter syarikat penerbangan di LTAK susulan pembatalan penerbangan hari ini. FOTO Nadim Bokhari
ORANG ramai menyerbu kaunter syarikat penerbangan di LTAK susulan pembatalan penerbangan hari ini. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Penumpang penerbangan khususnya dari Sarawak ke Kuala Lumpur dan sebaliknya, harus bersabar dengan pembatalan mendadak penerbangan ke destinasi terbabit hari ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, langkah itu diambil oleh pihak berkuasa penerbangan demi memastikan keselamatan pesawat serta penumpang.

Menurutnya, pembatalan itu hanya bersifat sementara dan yakin penerbangan antara wilayah itu akan pulih dalam masa terdekat.

"Malaysia Airlines (Mas) dan syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan penumpang.

"Mereka perlu memastikan penerbangan itu tidak terjejas oleh debu dari letusan gunung berapi kerana lokasi kejadian itu berdekatan dengan Borneo," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Konvensyen Penview (PCC) di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, pembatalan penerbangan pergi dan balik destinasi di Sarawak dan Sabah adalah di luar jangkaan dan orang ramai harus memahami situasi yang sedang berlaku akibat letusan gunung berapi, Gunung Ruang di Sulawesi Utara, Indonesia.

Mas mengumumkan pembatalan 19 penerbangan, manakala AirAsia membatalkan semua penerbangan ke dan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke destinasi di Sarawak dan Sabah, sehingga diberitahu kelak.

Gunung Ruang, pertama kali meletus pada 9.45 malam waktu tempatan semalam, menyebabkan kepulan debu dan asap memasuki ruang udara.

Menurut laporan Agensi Gunung Berapi Indonesia, empat lagi letusan susulan berlaku meningkatkan tahap amaran untuk gunung setinggi 725 meter itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 5:29 PM