HAJIJI, gambar fail. FOTO NSTP
HAJIJI, gambar fail. FOTO NSTP
BERNAMA

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah akan memantau kesan letusan gunung berapi Gunung Ruang di Indonesia dan menegaskan bahawa keselamatan rakyat menjadi keutamaan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji dalam satu kenyataan di sini berkata, beliau telah diberi taklimat mengenai situasi letusan gunung berapi itu dan akan sentiasa memberi keutamaan dalam memantau keadaan dan keselamatan orang ramai.

Lebih 20,000 penumpang dipercayai terjejas berikutan penggantungan semua penerbangan berjadual keluar masuk dari lapangan terbang di Kota Kinabalu, Labuan, Tawau dan Sandakan hari ini, menurut kenyataan itu.

Beberapa penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sabah, dan Sarawak dibatalkan hari ini berikutan letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia.

Malaysia Airlines setakat ini mengumumkan 19 penerbangan telah dibatalkan, dengan 11 penerbangan membabitkan Sabah, manakala lapan lagi membabitkan Sarawak.

AirAsia berkata, 16 daripada penerbangannya yang menghubungkan KLIA dengan destinasi di Sabah dibatalkan, lapan membabitkan Kota Kinabalu dan lapan lagi membabitkan Tawau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 5:11 PM