Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Norena Jaafar (tengah) melakukan pemeriksaan di bawah Operasi Bazar Aidilfitri di Bazar Aidilfitiri Mega Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini. FOTO Bernama
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Norena Jaafar (tengah) melakukan pemeriksaan di bawah Operasi Bazar Aidilfitri di Bazar Aidilfitiri Mega Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Melaka: Menyamar sebagai pelanggan bagi mengesan peniaga bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri yang sengaja enggan meletakkan tanda harga barangan dijual.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Norena Jaafar berkata, tahap kesedaran peniaga bagaimanapun didapati meningkat berdasarkan operasi dilakukan.

Menurutnya, sikap peniaga itu secara tidak langsung membuktikan program advokasi, penguatkuasaan dan pemantauan yang dilakukan agensi itu berkesan menerapkan kesedaran dalam kalangan peniaga.

"Kita nampak peningkatan itu sangat tinggi berbanding tahun lalu terutama apabila pengguna sendiri memainkan peranan dengan cara tidak memasuki kedai yang tidak meletakkan tanda harga bagi mengelak ditipu," katanya selepas melakukan Op Samar Bazar KPDN di Bazar Aidilfitri MITC Ayer Keroh di sini, semalam.

Mengenai Op Samar yang bermula kelmarin, Norena berkata dua peniaga masing-masing dikenakan kompuan RM200 selepas gagal mempamerkan tanda harga dan menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan.

"Sejak 1 Ramadan lalu, kami melakukan Op Pantau dengan memeriksa 2,200 premis perniagaan di bazar Ramadan dan di situ kami memberikan advokasi mengenai penggunaan tanda harga dan tiada kompaun dikenakan, namun kompaun akan dikenakan ketika Op Samar ini," katanya.

Menurutnya Op Samar diteruskan hingga akhir Ramadan ini dengan 10 pasukan penguat kuasa KPDN Melaka akan melakukan pemantauan di kesemua bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 12:55 PM