LILIS Saslinda membuat pemeriksaan pada walkabout di Bazar Ramadan Angsana Johor Bahru Mall. FOTO Omar Ahmad
LILIS Saslinda membuat pemeriksaan pada walkabout di Bazar Ramadan Angsana Johor Bahru Mall. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Johor Bahru: Dua peniaga di bazar Ramadan di negeri ini dikompaun atas kesalahan gagal meletakkan tanda harga dalam pemeriksaan Ops Pantau 2024.

Ia hasil pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor ke atas 463 gerai bazar Ramadan sejak 12 Mac lalu.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata, kedua-dua kompaun itu membabitkan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

"Penjualan barang mahal di bazar, kita ada terima aduan dan siasatan dijalankan dengan mengeluarkan notis untuk mendapat penjelasan lanjut daripada peniaga.

"Justeru, pemantauan diteruskan di lokasi-lokasi tumpuan seperti bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar raya, premis borong dan kedai runcit.

"Sebenarnya kita sentiasa melakukan advokasi untuk mendidik dan memberi peluang agar peniaga dapat betulkan kesilapan mereka, tetapi sekiranya ingkar tindakan tegas akan diambil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi walkabout di bazar Ramadan Angsana, di sini, semalam.

Menurutnya, secara keseluruhan KPDN Johor melakukan sebanyak 16,390 pemeriksaan ke atas pelbagai premis di seluruh negeri bermula dari 1 Januari lalu sehingga semalam.

Katanya, hasil daripada pemeriksaan, terdapat sebanyak 268 kes atas pelbagai kesalahan.

"Nilai rampasan mencecah RM16,419,278 dan nilai denda sebanyak RM246,220 selain kompaun sebanyak RM47,800," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 10:29 AM