Dadah seberar 24.4kg yang tidak dituntut dari syarikat kurier disita JKDM Sarawak. FOTO IHSAN JKDM
Dadah seberar 24.4kg yang tidak dituntut dari syarikat kurier disita JKDM Sarawak. FOTO IHSAN JKDM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Cawangan Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak giat mengesan wanita yang disyaki terbabit dalam pengedaran dadah di bandar raya ini.

Wanita terbabit dinamakan sebagai penerima dua bungkusan yang dihantar dari Shah Alam, Selangor, dikatakan enggan mengambil barangan itu di lokasi alamat yang tertera pada nota penghantaran.

Dia sebaliknya meminta untuk menuntut sendiri bungkusan yang tiba di Lapangan Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 18 Mac lalu di kaunter syarikat kurier berkenaan.

Pengarah JKDM Sarawak Norizan Yahya berkata, pihaknya yang curiga dengan bungkusan terbabit membuat intipan selama empat hari di kaunter syarikat kurier, namun tiada sesiapa tampil menuntut bungkusan.

Katanya, berikutan tidak dituntut, JKDM menyita bungkusan berkenaan yang dialamatkan atas nama wanita di Taman Stapok pada 22 Mac lalu.

"Pemeriksaan lanjut mendapati dua bungkusan itu mengandungi 24.4 kilogram (kg) ketulan kristal yang disyaki dadah merbahaya jenis Methamphetamine atau syabu.

"JKDM kini berusaha mengesan individu berkaitan rampasan itu dengan berpandukan maklumat diperoleh dariapada pengendali perkhidmatan kurier, penyedia perkhidmatan atas talian, rekod telekomunikasi dan rekod perbankan individu berkaitan.

"Bungkusan itu dihantar ke Kuching menggunakan akaun perniagaan dalam talian terkemuka melalalui Shah Alam – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)–LTAK," katanya.

Norizan berkata, nilai pasaran dadah yang dibungkus dengan plastik lutsinar dan dimasukkan ke dalam bungkusan makanan haiwan itu dianggarkan RM872,000.

"Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dikenakan hukuman penjara seumur hidup, tertuduh hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan," katanya.

Menurutnya lagi, dalam tempoh Januari hingga 22 Mac lalu, JKDM Sarawak merekodkan rampasan pelbagai jenis dadah sebanyak 138.7 kilogram yang dianggarkan bernilai RM4.4 juta.

Beliau turut meminta orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan dadah dan barangan yang lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti itu.

"JKDM menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 2:42 PM