Norizan Yahya (tengah) mengadakan Sidang Media, berkaitan  kejayaan Kastam Sarawak menumpaskan  Pengedaran Dadah Berbahaya bernilai lebih 1.5 Juta di Bilik Sidang Media, Aras 2, Wisma Kastam Medan Raya, Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub, Petra Jaya, Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Norizan Yahya (tengah) mengadakan Sidang Media, berkaitan  kejayaan Kastam Sarawak menumpaskan  Pengedaran Dadah Berbahaya bernilai lebih 1.5 Juta di Bilik Sidang Media, Aras 2, Wisma Kastam Medan Raya, Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub, Petra Jaya, Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Bungkus dadah dalam pakaian terpakai sebelum di seludup ke Sarawak, itu taktik baharu dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dilakukan sindiket pengedaran dadah dari Semenanjung.

Pengarah JKDM Sarawak, Norizan Yahya berkata, taktik itu dikesan dalam serbuan di sebuah rumah di Matang Jaya, di sini, pada 6 Mac lalu.

Menurutnya, hasil serbuan sebanyak 46 kilogram dadah jenis Methamphetamine atau syabu bernilai RM1.5 juta berjaya dirampas.

"Kesemua dadah itu disembunyikan di dalam empat bungkusan pakaian terpakai yang diletakkan di ruang tamu tingkat bawah rumah berkenaan.

"Pembungkusan di dalam pakaian terpakai itu taktik terbaharu bagi mengaburi pihak berkuasa. Sindiket ini sudah beroperasi sejak beberapa bulan lalu," katanya pada sidang media di ibu pejabat JKDM Sarawak di sini, hari ini.

Norizan berkata, seorang lelaki berusia lewat 20-an turut ditahan dalam serbuan itu bagi membantu siasatan.

"Suspek sudah dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati," katanya.

Menurutnya lagi, rampasan dadah itu adalah yang terbesar oleh JKDM Sarawak tahun ini dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam tempoh Januari hingga Mac adalah seberat 87.8 kilogram dengan nilai dianggarkan RM2.6 juta.

"Pada Januari lalu, JKDM Sarawak melakukan dua tangkapan iaitu pada 11 Januari seorang lelaki ditahan di Lapangan Terbang Sibu bersama 15 kilogram syabu.

"Tangkapan kedua pada 31 Januari pula membabitkan seorang lelaki di Lapangan Terbang Miri yang menyeludup syabu seberat 15 kilogram dari Semenanjung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 5:31 PM