Mohd Roji Kawi


Kuching: Tertarik dengan tawaran pekerjaan di sebuah syarikat di Serian, seorang wanita sanggup membawa bagasi besar yang dikirim rakan ketika balik ke Kuching, Rabu lalu yang mengandungi ganja.

Wanita tempatan berusia 27 tahun yang bekerja sebagai ejen insuran secara sambilan itu bagaimanapun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada jam 3.25 petang sebaik tiba dari Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak, Herman Shah Abdullah berkata, dadah itu dikesan pegawai JKDM yang bertugas di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) hasil imbasan terhadap bagasi.

Beliau berkata, pemeriksaan rapi terhadap bagasi itu menemui 18 bungkusan yang dibalut dengan kertas hadiah dan kertas karbon yang mengandungi ganja seberat 18.2 kilogram.

"Hasil siasatan awal, wanita itu mengaku pergi ke Semenanjung pada 22 April lalu kerana melawat ibunya yang sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

HERMAN (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Nadim Bokhari
HERMAN (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Nadim Bokhari

"Ketika berada di hospital itu, dia mendakwa didatangi rakan yang meminta bantuan membawa sebuah bagasi ke Kuching seterusnya sebagai ganjaran, dia dijanjikan dengan pekerjaan di sebuah syarikat di Serian sebaik selesai menjalani kuarantin 14 hari di Kuching," katanya pada sidang media, hari ini.

Herman berkata, dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM45,660 dan ia rampasan terbesar yang dilakukan pihaknya tahun ini.

"Wanita itu direman selama tujuh hari mulai 29 April lalu bagi membantu siasatan mengikut Seskyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati," katanya.

Sementara itu, dalam kes kedua pada jam 1.45 petang, Sabtu lalu, pegawai UKPP membuat imbasan terhadap sebuah bagasi yang tidak dituntut selepas tiba dari Kuala Lumpur pada 2 April lalu.

"Hasil imbasan itu menemui imej mencurigakan dan pemeriksaan lanjut menemui 19 bungkusan lut sinar yang mengandungi ganja.

"Pihak kami percaya, bagasi berkenaan sengaja ditinggalkan selepas pemiliknya menyedari kawalan dan pemeriksaan ketat dilakukan JKDM di pintu masuk LTAK," katanya.

Katanya, pengesanan terhadap pemilik bagasi yang mengandungi dadah dianggarkan bernilai RM46,730 itu sedang dijalankan dan berdasarkan rekod syarikat penerbangan, pihaknya percaya tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

"Siasatan juga dijalankan untuk mengenal pasti kemungkinan dua bagasi yang dirampas itu mempunyai kaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 10:51 AM