Mohd Roji Kawi


Kuching: Membungkus semula dadah ke dalam pek jus minuman dalam kuantiti kecil sebelum dihantar kepada pengedar menggunakan perkhidmatan bas ekspres antara bandar.

Taktik terbabit digunakan sindiket pengedaran dadah sebelum ditumpaskan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak dalam serbuan di Jalan Sarikei-Sri Aman, di sini, pada 26 September lalu.

Pemangku Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Mohd Nazri Ariffin berkata, rampasan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuching selepas memeriksa sebuah bas sebuah bas ekspres antara bandar, kira-kira 5.40 pagi.

"Pemeriksaan terhadap bungkusan di ruang kargo bas ekspres berkenaan membawa kepada penemuan 100 paket 'Juice Master'.

"Hasil siasatan mendapati paket itu mengandungi serbuk disyaki campuran dadah jenis ketamin dengan berat anggaran 3,198 gram dan dianggarkan bernilai RM384,700," katanya pada sidang media di Wisma Kastam, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Menurutnya, jus yang mengandungi campuran dadah itu mendapat permintaan tinggi di kawasan bandar terutamanya kalangan pengunjung yang berhibur di kelab malam.

JKDM Sarawak mengadakan sidang media berkenaan rampasan dadah "Jus Buah" mengandungi dadah terlarang jenis Ketamin yang di hantar menggunakan Bas Ekspres Antara Bandar. FOTO Nadim Bokhari
JKDM Sarawak mengadakan sidang media berkenaan rampasan dadah "Jus Buah" mengandungi dadah terlarang jenis Ketamin yang di hantar menggunakan Bas Ekspres Antara Bandar. FOTO Nadim Bokhari

"Siasatan awal mendapati bungkusan itu dihantar dari Miri ke Kuching dan JKDM Sarawak sedang mengesan pengirim serta penerimanya berdasarkan maklumat pengiriman yang tertera pada bungkusan itu," katanya.

Menurutnya, sepanjang tahun ini, JKDM Sarawak merampas sejumlah 24,355 kilogram dadah jenis methamphetamin, ketamin dan ganja serta 106 biji pil Eramin 5.

"Nilai rampasan termasuk aset dalam tempoh itu adalah berjumlah RM1.4 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 12:47 PM