Mohd Roji Kawi


Kuching: Sindiket pengedaran dadah dikesan menggunakan nama syarikat yang tidak aktif dan alamat yang tidak wujud bagi mengelak kegiatan mereka mengedar dadah menggunakan kurier dikesan pihak berkuasa.

Malah mereka turut memperalatkan orang awam untuk dijadikan keldai dadah bagi menuntut bungkusan yang dihantar melalui perkhidmatan kurier.

Pemangku Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak, Mohd Nadzri Ariffin berkata, taktik itu dikesan dalam kes penyeludulan dadah yang ditumpaskan di Miri, 24 Januari lalu.

Beliau berkata, dalam serbuan sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan JKDM di sebuah syarikat kurier di Permy Technology di Miri, Sarawak kira-kira jam 11.17 pagi, seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun ditahan ketika cuba menuntut bungkusan yang dikirim dari luar negara.

"Hasil pemeriksaan rapi yang dilakukan terhadap bungkusan itu membawa kepada penemuan bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi serbuk berwarna putih dipercayai dadah jenis ketamin, yang dianggarkan seberat 1,000 gram.

"Turut dijumpai adalah satu paket serbuk minuman di dalam beg sandang lelaki itu yang dipercayai dadah jenis ketamin serta dianggarkan seberat 28 gram," katanya pada sidang media, hari ini.

Mohd Nadzri berkata, semua dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM51,400," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan pada jam 2.15 petang, 10 Januari lalu, seorang lelaki tempatan berusia 30-an ditahan sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan JKDM Kuching di luar premis terminal basdi Kuching.

Menurutnya, ketika ditahan, lelaki itu cuba menuntut satu bungkusan yang dihantar dari Miri menggunakan perkhidmatan bas ekspres antara bandar.

"Lelaki itu juga disyaki sudah beberapa kali membuat tuntutan bungkusan melalui perkhidmatan bas antara bandar dan hasil pemeriksaan yang dilakukan membawa kepada penemuan sejumlah 358 paket lutsinar yang mengandungi serbuk kristal dipercayai dadah jenis Methamphetamine dengan berat keseluruhan 1,115 gram yang dianggarkan bernilai RM47,500.

"Turut dirampas, wang tunai berjumlah RM540 dan kereta jenis Toyota Yaris yang dianggarkan RM70,000. Jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM117,500," katanya.

Menurutnya, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu kesalahan mengedar dadah berbahaya yang jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 1:33 PM
Mohd Nadzri mengadakan sidang media kejayaan Kastam Sarawak Tumpas Penyeludupan Dadah berbahaya di Kuching, di Wisma Kastam Petra Jaya Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Nadzri mengadakan sidang media kejayaan Kastam Sarawak Tumpas Penyeludupan Dadah berbahaya di Kuching, di Wisma Kastam Petra Jaya Kuching. FOTO NADIM BOKHARI