BAGASI mengandungi dadah jenis Methaphetamine seberat 34.514 kilogram bernilai RM1,224,800 yang dirampas di LTAK. FOTO ihsan JKDM
BAGASI mengandungi dadah jenis Methaphetamine seberat 34.514 kilogram bernilai RM1,224,800 yang dirampas di LTAK. FOTO ihsan JKDM
Melvin Joni


Kuching: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menggagalkan penyeludupan dadah Methaphetamine seberat 34.514 kilogram (kg) bernilai RM1.2 juta yang cuba dihantar ke negeri ini melalui penerbangan dari Kuala Lumpur.

Pengarah Kastam Sarawak Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, kesemua dadah itu dirampas menerusi dua tangkapan berasingan masing-masing pada 3 November lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

Katanya, tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 12 tengah hari, apabila pihaknya menyita sebuah bagasi tidak dituntut.

"Hasil pemeriksaan dijalankan Cawangan Narkotik JKDM Sarawak ke atas bagasi berkenaan membawa kepada penemuan 20 paket teh mengandungi serbuk kristal disyaki dadah Methamphetamine atau syabu seberat 20.336 kg bernilai RM727,200," katanya.

Dalam tangkapan kedua pula, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang JKDM Sarawak menahan dua lelaki tempatan yang tiba di LTAK melalui penerbangan dari Kuala Lumpur pada jam 10 malam hari sama.

' "Kedua-dua lelaki terbabit ditahan selepas imej imbasan ke atas dua bagasi dibawa mencurigakan.

"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 14 paket berwarna hitam mengandungi dadah syabu seberat kasar 14.178 kg bernilai RM497,600," katanya.

Taufik menambah siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu melakukan silang bagasi iaitu masing-masing membawa bagasi yang didaftarkan bukan atas nama sendiri.

Katanya semakan ke atas identiti kedua-dua lelaki terbabit mendapati, salah seorang daripadanya berumur 28 tahun tidak bekerja dan seorang lagi berumur 32 tahun mengambil upah sebagai penghantar.

Taufik berkata, modus operandi (MO) bagi kedua-dua kes itu adalah dengan membawa masuk dadah melalui penerbangan domestik dan dibungkus menggunakan bungkusan serbuk minuman dan cetakan imej ikan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Katanya kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hukuman sebat tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 5:03 PM