1.4 kilogram dadah syabu yang disembunyikan dalam paket serbuk jus.
1.4 kilogram dadah syabu yang disembunyikan dalam paket serbuk jus.
Norsyazwani Nasri


Kuching: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas 1.4 kilogram dadah syabu yang disembunyikan dalam paket serbuk jus hasil pemeriksaan ke atas sebuah premis perkhidmatan kargo di Jalan Datuk Tawi Sli, di sini, Jumaat lalu.

Pengarah Kastam Sarawak, Herman Shah Abdullah berkata, rampasan dilakukan sepasukan anggota Cawangan Narkotik JKDM Kuching pada jam 12.55 tengah hari.

Katanya, pemeriksaan itu dilakukan susulan pemerhatian dan pemantauan yang dijalankan di premis berkenaan.

"Pasukan pemeriksaan mengesan satu bungkusan yang tidak dituntut dan mencurigakan yang dikirim dari Miri kepada seorang individu di Kuching.

"Pemeriksaan ke atas bungkusan itu membawa kepada penemuan sejumlah bungkusan serbuk jus yang mengandungi serbuk dipercayai dadah Methamphetamine seberat 1,468 gram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM73,400 dan usaha untuk menjejaki individu pengirim dan penerima bungkusan terbabit sedang giat dijalankan.

"Penghantaran bungkusan ini menggunakan perkhidmatan kargo antara bandar untuk pengiriman bungkusan dipercayai bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

"Kos perkhidmatan yang murah dan cepat menjadi pilihan berbanding dengan perkhidmatan kurier konvensional," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu kesalahan

mengedar dadah berbahaya di mana jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum gantung sampai mati.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 1:22 PM