SHAIFUL Hazizy. FOTO Bernama
SHAIFUL Hazizy. FOTO Bernama
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Kedah Agro Holdings Berhad (Kedah Agro) dikatakan mula mencatat kerugian apabila pentadbiran negeri bertukar kepada Pas pada 2008 selepas berjaya meraih keuntungan ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Kedah Agro mencatat keuntungan antara 2005 hingga 2008 ketika Datuk Seri Mahdzir Khalid menjadi Menteri Besar.

Jelasnya, bagaimanapun keadaan berubah apabila Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak mengambil alih negeri pada 2008 dan Menteri Besar ketika ini, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjadi Setiausaha Politik pemimpin itu.

"Sanusi dengan penuh rasa tidak bersalah, menyalahkan kerajaan BN atas kegagalan kerajaan negeri dalam membayar gaji pekerja Kedah Agro yang tertunggak sejak September 2023.

"Sanusi kata Kedah Agro gagal buat 'business' sejak dari zaman saya menjadi Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Soalannya, bagaimana tiada 'business' sekiranya tahun 2005 hingga 2008 zaman Datuk Seri Mahdzir Khalid, Kedah Agro untung saja.

"Kedah Agro mula catat kerugian sejak Ustaz Azizan menjadi Menteri Besar dan Sanusi ketika itu adalah Setiausaha Politik kepadanya. Maksudnya daripada zaman Pas, Kedah Agro tidak buat untung dan Sanusi kena sedar yang sudah bertahun Sanusi jadi Menteri Besar, takkan tidak mampu selesaikan?" katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy berkata, ini bukan kali pertama Muhammad Sanusi menyalahkan pihak lain kerana ia turut berlaku apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikaitkan dalam isu gaji pemain bola sepak negeri.

Katanya, dalam isu pembangunan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) pula, beliau menyalahkan Kerajaan Persekutuan yang dikatakan enggan memberi kelulusan.

"Kalau semua salah orang lain, Sanusi sajakah yang betul? Ini sudah tahap maksum. Saya faham memang setiap tahun kerajaan akan beli aset baru, tapi perlu ada keutamaan.

"Sudah tahu gaji (pekerja Kedah Agro) tertunggak sejak September, kenapa tidak selesaikan itu dulu? Kenapa sibuk hendak beli kereta beratus ribu?

"Sebab itu Sanusi kena terima hakikat, ini bukan soal untung rugi, ini syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kedah, kerajaan negeri perlu bertanggungjawab ke atas semua staf dan pekerja yang tidak dibayar gaji sejak September 2023," katanya.

Berikutan itu, beliau meminta Muhammad Sanusi sedar bahawa menjadi adat dalam perniagaan ada untung dan ruginya, tapi dalam isu ini kerajaan negeri harus ada sifat kemanusiaan kerana gaji adalah hak pekerja.

Semalam, Menteri Besar itu mendakwa Shaiful Hazizy selaku bekas Setiausaha Politik kepada Ahmad Bashah sebagai individu paling layak memberi penjelasan berhubung masalah dialami Kedah Agro

Katanya, Shaiful Hazizy sepatutnya lebih tahu dalam isu itu kerana sebahagian besar masalah yang melanda syarikat milik kerajaan negeri itu didakwa timbul ketika BN memerintah Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 10:35 AM