SHAIFUL Hazizy. FOTO arkib Bernama
SHAIFUL Hazizy. FOTO arkib Bernama
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu berhenti membuat spekulasi atau kenyataan mengenai perkara yang belum pasti bagi mengelak beliau diambil tindakan undang-undang.

Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tuduhan Muhammad Sanusi bahawa Kerajaan Pusat cuba menyingkirkan beliau daripada menganggotai Majlis Kewangan Negara sepatutnya tidak timbul.

Beliau berkata, ini kerana kuasa bagi melantik wakil negeri ke majlis itu hanya boleh dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Badlishah saja.

"Berikutan itu, saya meminta Menteri Besar berhenti membuat spekulasi atau kenyataan berkenaan sesuatu perkara yang tidak pasti. Jangan sampai peristiwa beliau kalah saman RM120,000 berulang kembali.

"Dalam hal perlantikan Majlis Kewangan Negara, sudah jelas Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan menetapkan ia perlu diketuai Perdana Menteri atau mana-mana menteri yang dilantik, manakala setiap negeri diwakili individu yang diperkenan Sultan atau Yang di-Pertua Negeri.

"Di sisi Perlembagaan, maka kuasa muktamad terletak di tangan Sultan Kedah apabila hanya Baginda boleh memperkenan wakil negeri di dalam Majlis Kewangan Negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi mendakwa terdapat usaha menyingkirkan beliau daripada menganggotai Majlis Kewangan Negara dan digantikan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah, Datuk Norizan Khazali.

Shaiful Hazizy berkata, adalah tidak wajar Muhammad Sanusi menuding jari menuduh kerajaan ketika ini berkomplot untuk mengetepikan beliau, sedangkan pihak berkenaan tiada kuasa muktamad menentukan wakil negeri.

Katanya, beliau turut mencabar Muhammad Sanusi agar mendedahkan butiran surat kononnya yang melobi agar Menteri Besar itu disingkirkan daripada keanggotaannya di Majlis Kewangan Negara kerana perkara ini adalah tuduhan yang serius.

"Menteri Besar perlu menghentikan sandiwara politik yang akhirnya menunjukkan beliau tidak faham peruntukan undang-undang sedia ada.

"Muhammad Sanusi berkata beliau 'bising' kerana mahu menghalang perkara itu berlaku, tetapi kenapa dalam banyak hal beliau tidak bising bagi menghalang kejadian lebih buruk, seperti penerokaan unsur nadi bumi (REE) adalah contoh bahawa 'bising' beliau tidak elegan, memualkan, seperti kanak-kanak menangis mahu mainan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 2:36 PM