Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan kerosakan reputasi Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bukan berpunca daripada kenyataan Menteri Dalam Negeri itu, sebaliknya kerana faktor tadbir urus dan penyelewengan pentadbiran sebagai Menteri Besar Kedah.

Perkara itu dihujahkan Saifuddin menerusi penyataan pembelaan difailkan Tetuan Nav & Co di Mahkamah Tinggi Alor Setar, 14 September lalu.

Ia berhubung saman difailkan Sanusi kerana mendakwa Setiausaha Agung PKR itu memfitnahnya mencuri unsur nadir bumi (REE) dan menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Saifuddin berkata, pengendalian dana MARRIS dengan cara yang tidak wajar menunjukkan kekurangan kepintaran kewangan sewajarnya pada pihak Kerajaan Kedah di bawah kepimpinan Muhammad Sanusi, selain isu tadbir urus kontroversi berkaitan REE.

"Semua perkara ini menunjukkan bahawa Sanusi mungkin dianggap sebagai pemimpin lemah dan tiada kualiti kepimpinan mantap seperti diperlukan untuk mentadbir sebuah negeri dengan berkesan.

"Selanjutnya, tiada keperluan untuk saya mengesahkan kenyataan berkenaan dengan Sanusi.

"Oleh demikian, saya menafikan sebarang niat jahat, dendam atau niat untuk memburukkan atau mencemarkan reputasi Sanusi," katanya.

Pada 3 Ogos lalu, Muhammad Sanusi memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap Saifuddin melalui firma guaman Tetuan Faizi & Associates di Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Melalui pernyataan tuntutannya, Muhammad Sanusi berkata Saifuddin menyampaikan ceramah pada program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah, bertempat di Padang Awam, Guar Chempedak, Yan, pada jam 8.30 malam, 15 Julai lalu.

Ia bagi kempen politik Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah pada 12 Ogos lalu.

Dalam ceramah itu, Muhammad Sanusi mendakwa Saifuddin mengeluarkan kata-kata fitnah yang menuduhnya selaku Menteri Besar dan Pengerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah mencuri REE di Kampung Chong, Sik yang mendapat liputan luas media.

Saifuddin berkata, Sanusi tidak mengalami apa-apa kerugian dan kerosakan sama ada terhadap reputasinya atau sebaliknya.

"Ini terbukti dengan kejayaan Sanusi mengekalkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Jeneri pada PRN Kedah 2023 dengan majoriti lebih 16,000 undi.

"Sanusi mengangkat sumpah semula sebagai Menteri Besar Kedah dengan menguasai lapan portfolio dalam majlis exco kerajaan negeri dan mengekalkan jawatan Pengerusi MBI Kedah dalam proses itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 1:10 PM