Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan beramah mesra dengan orang ramai ketika berangkat mengunjungi bazar Ramadan di Arena Kuala Kangsar, hari ini. FOTO BERNAMA
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan beramah mesra dengan orang ramai ketika berangkat mengunjungi bazar Ramadan di Arena Kuala Kangsar, hari ini. FOTO BERNAMA
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat Bazar Ramadan Arena Kuala Kangsar, di sini hari ini.

Baginda berdua berangkat tiba di bazar itu pada kira-kira jam 5 petang dengan disambut dan diiringi kenamaan, diketuai Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Muhammad Nazri Abdullah, selain Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Dr Sakduddin Zamli.

Hadir sama ke bazar yang menempatkan sebanyak 242 lot gerai itu, Ahli Dewan Negara, Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob.

Sultan Nazrin turut dilihat membeli beberapa juadah antaranya martabak di gerai Murtabak Hj Mohamad Dan Keluarga (Pak Mad), daging salai, kuih abuk-abuk, dan air balang, selain meluangkan masa beramah mesra bersama pengunjung dan peniaga.

Hadirin yang mengunjungi bazar Ramadan itu tidak melepaskan peluang untuk melihat kenamaan istimewa itu secara lebih dekat termasuk dengan merakam suasana di situ secara dekat menggunakan telefon masing-masing.

Malam ini, Sultan Nazrin dijadual berangkat ke Majlis Berbuka Puasa bersama Media, NGO (badan bukan kerajaan), Sektor Korporat, Swasta, Syarikat Berkaitan Kerajaan, dan Belia di Istana Iskandariah, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 8:39 PM