Fadillah Yusof (dua, kanan) mengagihkan bubur lambuk di Surau Al-Hidayah di Petra Jaya, hari ini. FOTO BERNAMA
Fadillah Yusof (dua, kanan) mengagihkan bubur lambuk di Surau Al-Hidayah di Petra Jaya, hari ini. FOTO BERNAMA
Mohd Roji Kawi


Kuching: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menafikan kawasan Parlimen Muar tidak disalurkan peruntukan oleh kerajaan seperti yang didakwa oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Fadillah turut menafikan dakwaan bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu pernah berjumpanya tiga kali bagi membincangkan isu itu.

Beliau mengakui, Syed Saddiq ada berjumpanya dua kali sebelum ini namun beliau tidak dapat membuat sebarang keputusan kerana isu peruntukan perlu dibincangkan bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

"Kalau dia (Syed Saddiq) kata jumpa TPM tiga kali, dengan saya hanya dua kali, yang satu lagi saya tak tahu," katanya ketika ditemui selepas Program Pengagihan Bubur Lambuk di Surau Al Hidayah, Taman Sejoli, Petra Jaya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Syed Saddiq pada Khamis lalu bahawa kawasannya belum menerima sebarang peruntukan walaupun sudah tiga kali berunding dengan Timbalan Perdana Menteri.

Dakwaan itu terkandung dalam pemberitahuan pertanyaan lisan Dewan Rakyat seperti disiarkan di laman web Parlimen.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, kerajaan ada menyalurkan peruntukan untuk kawasan Parlimen Muar tetapi bukan peruntukan kepada Ahli Parlimen Muar.

"Mungkin itu (peruntukan kepada Ahli Parlimen) yang beliau maksudkan kerana peruntukan untuk kawasan Parlimen Muar memang kerajaan ada salurkan," katanya.

Fadillah berkata, pengagihan peruntukan kepada Ahli Parlimen belum dapat diputuskan kerana ketua pembangkang belum berjumpanya untuk mengadakan perbincangan lanjut.

Menurutnya, Hamzah bersama Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Ronald Kiandee sepatutnya berjumpa beliau Selasa lalu.

Bagaimanapun, perjumpaan itu terpaksa ditangguhkan kerana Takiyuddin terpaksa balik ke Kota Bharu atas urusan penting.

"Jadi, mereka minta tangguh dan dijangka berjumpa saya minggu depan namun tarikhnya belum ditetapkan.

"Saya perlu berjumpa mereka, Takiyuddin ada berjumpa saya sebelum ini namun tiada perbincangan spesifik, tetapi ketua pembangkang belum lagi.

"Saya perlu mendengar apa permohonan mereka, barulah saya dapat membawanya kepada kerajaan untuk kemukakan permohonan itu, apa syarat dan sebagainya," katanya.

Menurutnya lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amanat kepada mereka untuk berbincang dengannya bagi menyatakan apa kemahuan mereka.

"Selepas berjumpa mereka (tiga pimpinan tertinggi Perikatan Nasional) barulah saya membentangkan kepada kerajaan untuk dibincangkan, kemudian barulah diadakan perundingan," katanya.

Mengenai pemusatan kuasa untuk memberi permit atau kebenaran serta kelulusan kepada warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menguasai industri sayur, Fadillah berkata, prosedur sedia ada dikuatkuasakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 3:29 PM