HAMZAH. FOTO Arkib NSTP
HAMZAH. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perikatan Nasional (PN) menyambut baik keputusan yang dibuat kerajaan bagi memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan hari ini berkata PN akan membuat keputusan selepas meneliti terlebih dahulu syarat-syarat dalam draf Memorandum Persefahaman (MoU) yang sedang disiapkan kerajaan.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi satu kenyataan memaklumkan Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata persetujuan itu diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta dihadiri pemimpin tertinggi parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan di Sri Perdana, Putrajaya, semalam.

Ketua Whip Kerajaan Perpaduan itu berkata sehubungan itu, satu draf MoU akan dirangka serta dipanjangkan kepada pihak pembangkang, sebagai langkah perundingan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 4:42 PM