Datuk Seri Takiyuddin Hassan. FOTO Arkib NSTP
Datuk Seri Takiyuddin Hassan. FOTO Arkib NSTP
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Isu peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang perlu dirunding secara terus kepada Perdana Menteri bersama ketua pembangkang bagi mewujudkan keputusan yang berkesan.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beliau sudah beberapa kali berjumpa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, namun tiada persetujuan dicapai.

"... tapi perundingan itu tidak berjaya, itu sajalah. Kenapa (perlu berjumpa) dengan TPM II (Fadillah)? Bukan saya kata tak boleh tapi tidak ada keputusan yang baik.

"Dulu masa (Datuk Seri) Ismail Sabri jadi Perdana Menteri, beliau sendiri berunding terus dengan ketua pembangkang, jadi boleh buat keputusan yang lebih berkesan," katanya ketika ditemui di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Takiyuddin berkata, isu peruntukan itu adalah manifesto kepada kerajaan hari ini dengan memberikan peruntukan yang sama rata antara wakil rakyat persekutuan dan pembangkang.

Katanya, sudah tidak timbul lagi isu rundingan kerana sudah dibangkitkan banyak kali dalam parlimen maka sewajarnya diberikan sejak dari dulu lagi tanpa apa-apa alasan.

"Soal peruntukan ini tak perlu dirundingkan lagi kerana perkara itu dengan jelas menjadi satu manifesto kepada kerajaan yang ada pada hari ini iaitu peruntukan yang sama rata antara ahli parlimen kerajaan dengan pembangkang.

"Kita sudah bangkitkan banyak kali dalam parlimen oleh semua ahli parlimen jadi saya rasa tak timbul dah soal perundingan dan sebagainya kerana ia adalah sewajarnya dimulakan tanpa apa-apa alasan," katanya.

Sebelum ini, Fadillah dilaporkan berkata, peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang belum dapat ditentukan, kerana Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin belum lagi berbincang dengannya.

Fadillah berkata, Perdana Menteri masih berharap Hamzah akan mengadakan perbincangan berhubung soal peruntukan itu terlebih dahulu, sebelum sebarang keputusan dapat diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 7:34 PM