Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan jemaah yang hadir sebelum menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Bandar Teknologi Kajang hari ini. FOTO BERNAMA
Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan jemaah yang hadir sebelum menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Bandar Teknologi Kajang hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan tohmahan pembangkang kononnya Ahli Parlimen mereka dikenakan syarat untuk menyokong Perdana Menteri bagi mendapatkan peruntukan.

Sebaliknya Perdana Menteri berkata perbincangan lebih menjurus kepada memastikan kestabilan kerajaan dan juga pertumbuhan ekonomi.

"Tidak ada syarat sokong PM seperti mana ditohmah oleh pembangkang. Kita beri mandat kepada Fadillah (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof) dan jawatankuasa.

"Perbincangan supaya kerajaan stabil dan kita tumpu kepada pertumbuhan ekonomi yang menjamin keamanan, kestabilan," katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Teknologi Kajang di sini hari ini.

Semalam Fadillah dilapor berkata Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Fadillah berkata satu draf memorandum persefahaman (MoU) akan dirangka terlebih dahulu dan dipanjangkan kepada pihak pembangkang, sebagai langkah perundingan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 4:48 PM