Orang ramai membawa keluarga mandi-manda di Lata Kolam Air Deru Ecopark, Kampung La, Hulu Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Orang ramai membawa keluarga mandi-manda di Lata Kolam Air Deru Ecopark, Kampung La, Hulu Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Lebih 1,000 pengunjung mengambil peluang membawa keluarga mengunjungi hutan lipur untuk mandi-manda susulan cuaca panas serta fenomena El Nino ketika ini.

Tinjauan di hutan lipur Lata Kolam Air Deru Ecopark, Kampung La, Hulu Besut, di sini mendapati, kebanyakan pengunjung datang bersama keluarga serta rakan untuk berkelah sejak awal pagi.

Salah seorang pengunjung, Haryanti Mat Razali, 33, dari Kampung Raja berkata, dia mengambil peluang musim cuti sekolah serta cuaca panas untuk membawa empat orang anaknya datang ke situ.

"Jika diikutkan ini kunjungan kali kelima kami ke sini dan saya sendiri amat berpuas hati tahap kebersihan kawasan, tandas serta tempat berkelah yang selesa.

"Paling penting aspek keselamatan saya mempunyai anak kecil berusia setahun empat bulan dan di sini ada kawasan sesuai untuk anak kecil mandi kerana keadaan sungainya di bahagian bawah lebih cetek berbanding kawasan di bahagian atas," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seorang lagi pengunjung, Nuraadila Suhaimi, 26, berkata, dia bersama rakan-rakannya datang bercuti kerana tertarik dengan keindahan kawasan itu.

Katanya, keadaan air sungai yang jernih serta nampak kehijauan amat memukau pandangan mata sesiapa saja yang datang ke situ.

"Kawasan hutan lipur selalunya lebih menjadi pilihan orang ramai berbanding kawasan pantai ketika musim panas ini kerana air sungai yang sejuk lebih sesuai untuk aktiviti mandi-manda," katanya.

Sementara itu, Pengurus operasi Hutan lipur Lata Kolam Air Deru Ecopark Ahmad Shahrin Kaswadi berkata, kunjungan orang ramai pada hujung minggu Jumaat serta Sabtu meningkat kepada 1,000 orang sehari berbanding 300 orang pada hari biasa.

Katanya, kawasan mandi-manda dibuka setiap hari seawal jam 8.30 pagi sehingga 7 malam dan aktiviti malam lebih kepada acara santai untuk pengunjung yang menginap di situ.

"Pertambahan pengunjung ketika musim panas ini disebabkan mereka lebih yakin dengan tahap keselamatan mandi di sungai berbanding ketika musim hujan kerana bimbang fenomena kepala air.

"Kehadiran pengunjung dijangka meningkat sekali ganda sebelum bulan Ramadan ini untuk mandi-manda bersama keluarga sebelum mula berpuasa," katanya.

Katanya, mereka turut menempatkan anggota penyelamat untuk memantau pengunjung yang melakukan aktiviti air di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 10:32 AM