MANDI manda di air terjun Sungai Sendat yang dingin tetapi menyegarkan.
MANDI manda di air terjun Sungai Sendat yang dingin tetapi menyegarkan.
Zaitie Satibi


Daerah Hulu Selangor yang bersempadan dengan Pahang kaya dengan tarikan pelancong berkonsepkan alam semula jadi seperti air terjun, hutan lipur dan kolam air panas. Destinasi popular percutian alam semula jadi ini menawarkan pelbagai aktiviti lasak mahupun perkelahan santai untuk seisi keluarga.

Tempat menarik berkenaan turut menyediakan kemudahan termasuk penginapan. Berikut senarai kawasan perkelahan yang sesuai dikunjungi bersama keluarga atau rakan.

1. Santuari Ikan Kelah, Sungai Chiling sangat popular dalam kalangan warga kota untuk mandi-manda sambil menjejak denai. Pengunjung perlu berjalan kaki melalui denai yang disediakan kira-kira 20 minit untuk masuk ke dalam. Air terjunnya yang agak tinggi sememangnya menawarkan pemandangan cantik, malah satu lagi tarikan pengunjung adalah pemuliharaan ikan kelah.

DESTINASI Sungai Inki perkelahan sesuai untuk seisi keluarga.
DESTINASI Sungai Inki perkelahan sesuai untuk seisi keluarga.

2. Sungai Inki Kalumpang adalah destinasi untuk mandi sungai yang sangat menarik untuk dikunjungi bersama keluarga. Ini kerana terdapat kemudahan asas untuk pengunjung seperti chalet, resort, pusat latihan, titian gantung dan pondok rehat. Air sungainya sejuk tetapi menyegarkan dan terdapat kolam buatan simen untuk kanak-kanak.

3. Air Terjun Semangkuk tidak sebesar mana, tetapi biarpun kecil ia sering menjadi tempat persinggahan mereka yang ingin berehat sebelum memulakan perjalanan ke Bukit Fraser atau Empangan Kuala Kubu Bharu.

BERKELAH di Air Terjun Serendah dan menikmati pemandangan alam sekitar.
BERKELAH di Air Terjun Serendah dan menikmati pemandangan alam sekitar.

AIR TERJUN SEMANGKUK lokasi percutian santai berkonsep alam semula jadi.
AIR TERJUN SEMANGKUK lokasi percutian santai berkonsep alam semula jadi.

4. Sungai Kedondong adalah kawasan air terjun yang mudah diakses dengan kereta apabila pengunjung boleh memandu dengan melalui jalan Batang Kali ke Genting Highlands. Ia menyediakan kawasan tadahan air terjun yang sangat cantik dan lapang. Kolam air terjun juga cetek sesuai untuk anak-anak mandi manda.

5. Air Terjun Hutan Lipur Sungai Sendat adalah air terjun bertingkat yang sangat menarik untuk dikunjungi bersama keluarga. Kawasan mandi di destinasi berkenaan lebih kurang sama seperti di Sungai Kedondong dengan kolam cetek dan lapang.

6. Air Terjun Serendah turut dikenali dalam kalangan penduduk tempatan sebagai Templer Kai. Destinasi perkelahan ini sesuai dikunjungi kerana bentuk muka buminya tidak terlalu mencabar. Kolam tadahan air terjun lapang dan cantik, selain disediakan kemudahan untuk pengunjung.

TAWAR kemudahan pengunjung di Sungai Kedondong.
TAWAR kemudahan pengunjung di Sungai Kedondong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 10:40 AM