ROSELAN (dua dari kanan) menunjukkan antara lebih 360,000 tin minuman keras yang dirampas JKDM selepas menahan tujuh kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang. FOTO Danial Saad.
ROSELAN (dua dari kanan) menunjukkan antara lebih 360,000 tin minuman keras yang dirampas JKDM selepas menahan tujuh kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang. FOTO Danial Saad.
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Cubaan tiga syarikat perkapalan untuk menyeludup masuk tujuh kontena berisi minuman keras dari negara di Asia Timur, gagal selepas disita Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Roselan Ramli berkata, tujuh kontena itu dikesan secara berasingan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor antara 11 pagi hingga 12.45 tengahari, 31 Januari dan pada 11.30 pagi, 7 Februari lalu.

Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan, dalam kontena didapati berisi sejumlah 361,236 tin minuman keras dianggarkan bernilai RM7.13 juta termasuk cukai.

"Melalui pemeriksaan pertama, kita menahan dua kontena berisi 106,560 tin arak jenis bir dan menahan seorang ejen perkapalan, 30-an, untuk siasatan.

"Pemeriksaan kedua, yang menahan empat kontena berisi 202,356 tin minuman keras dan pemeriksaan ketiga pula menahan sebuah kontena berisi 52,320 tin," katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Kastam di Bagan Jermal, di sini, hari ini.

Roselan berkata, ketiga-tiga penyeludup cuba memperdaya pihak berkuasa apabila mengisytiharkan dagangan berbeza dengan borang 'Bil of Lading' dan 'Manifes Import (K4)'

Katanya, kes pertama mengikrarkan dagangan sebagai kepingan aluminium, kes kedua pula aloi tembaga dan kes ketiga pula mengisytihar kabin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua kontena dikendali syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang dan ia diimport oleh syarikat berstatus Sdn Bhd di Selangor.

"Melalui dokumen yang diperoleh, kesemua dagangan ini disyaki berasal dari salah sebuah negara di Asia Timur," katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 1:32 PM