Pengarah Kastam Pulau Pinang, Roselan Ramli (tengah) menunjukkan antara 9 juta batang rokok putih yang disyaki tidak berkastam dengan nilai anggaran termasuk cukai berjumlah lebih RM7.9 juta selepas menahan sebuah kontena di Pelabuhan Klang pada 7 Mac lalu  ketika sidang media di Stor Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bagan Jermal. FOTO DANIAL SAAD
Pengarah Kastam Pulau Pinang, Roselan Ramli (tengah) menunjukkan antara 9 juta batang rokok putih yang disyaki tidak berkastam dengan nilai anggaran termasuk cukai berjumlah lebih RM7.9 juta selepas menahan sebuah kontena di Pelabuhan Klang pada 7 Mac lalu ketika sidang media di Stor Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bagan Jermal. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Helah sindiket penyeludupan rokok mengikrar dagangan sebagai perabot tidak berhasil apabila taktik itu berjaya dihidu dalam serbuan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor pada 7 Mac lalu.

Pemeriksaan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang selepas menerima maklumat awam kira-kira 10.40 pagi.

Hasil pemeriksaan menemukan sembilan juta batang rokok putih tidak berkastam bernilai RM7.92 juta termasuk cukai lalu dirampas untuk tindakan lanjut.

Pengarah JKDM negeri, Roselan Ramli berkata, terdahulu pasukan menahan sebuah kontena sebelum menemui 900 kotak mengandungi jutaan batang rokok putih.

"Melalui semakan 'bill of lading' mendapati barangan itu diikrarkan sebagai perabot bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Dagangan itu disyaki berasal dari sebuah negara di Asia Tenggara.

"Kesemua rokok tidak berkastam membabitkan nilai anggaran RM1.8 juta dan cukai berjumlah RM6.12 juta itu kemudian dirampas Bahagian Penguatkuasa JKDM Pulau Pinang untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Stor Penguatkuasaan JKDM Bagan Jermal, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Roselan berkata, siasatan awal ke atas kontena itu didapati ia dikendalikan sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang.

"Rokok itu dipercayai akan dijual kepada pekerja ladang dan pekerja tapak pembinaan warga asing di negara ini.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek yang terbabit dalam aktiviti ini," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 12:43 PM