Antara arak yang dirampas. FOTO ihsan JKDM
Antara arak yang dirampas. FOTO ihsan JKDM
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah berjaya menumpaskan dua sindiket penyeludupan minuman keras dengan nilai rampasan lebih RM1 juta di Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara, bulan lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, pada 3 Mei lalu, Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) merampas satu kontena bersaiz 40 kaki mengandungi minuman keras di Gudang CFS2, di sini.

"Kastam merampas kontena berkenaan dengan anggaran nilai RM115,380 membabitkan kuantiti rampasan dianggarkan sebanyak 23,076 liter dan duti/cukai dianggarkan berjumlah RM1,071,303.30.

"Hasil pemeriksaan ke atas kontena itu menemukan minuman keras dipercayai belum lulus kastam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zazuli berkata, berdasarkan maklumat di dalam 'Bill of Lading' barangan itu dinyatakan sebagai 'Stainless Steel Welded Pipe',"

"Bagaimanapun pemeriksaan fizikal dibuat dan mendapati dagangan yang ditemui berbeza seperti yang dinyatakan di dalam Bill of Lading iaitu minuman keras belum lulus kastam," katanya.

Sementara itu, pada 29 Mei, satu lagi kontena bersaiz 40 kaki dirampas di Pelabuhan Utara, yang juga mengandungi minuman keras.

Katanya, anggaran nilai rampasan adalah sebanyak RM110,880 dengan kuantiti rampasan dianggarkan sebanyak 22,176 liter dan duti/cukai pula dianggarkan berjumlah RM346,500.

"Hasil pemeriksaan ke atas kontena berkenaan menemukan minuman keras yang dipercayai belum lulus kastam.

"Barangan ini diikrar sebagai 'Castor Wheel' dengan menggunakan Borang Kastam 1. Minuman keras diklasifikasi sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 3, Jadual Ketiga/Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017," katanya.

Katanya, ejen perkapalan yang terbabit sudah dikenal pasti dan tindakan sedang diambil bagi mengesannya untuk membantu siasatan.

Mengulas lanjut bagi kedua-dua kes itu, pihaknya masih menyiasat untuk mengetahui syarikat atau ejen penghantaran yang terbabit bagi tindakan selanjutnya.

"Kes-kes ini sedang disiasat atas kesalahan cubaan mengelakkan dengan fraud duti kastam dan mengelakkan larangan import mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967.

"Juga cubaan mengelakkan dengan fraudan duti eksais mengikut Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 5:31 PM