PENDUDUK menunjukkan parit utama yang terhakis dan menyebabkan banjir kilat berlaku di Taman Bangi Indah, Bangi. FOTO Aizuddin Saad
PENDUDUK menunjukkan parit utama yang terhakis dan menyebabkan banjir kilat berlaku di Taman Bangi Indah, Bangi. FOTO Aizuddin Saad
Noor Hidayah Tanzizi

Bangi: Satu sesi perjumpaan sudah dilakukan oleh pihak berkenaan bersama penduduk Kampung Batu 6, Taman Bangi Indah dan PKNS Batu 6 di sini, Disember lalu bagi membincangkan isu berkaitan banjir yang membelenggu penduduk setempat.

Jurucakap Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berkata, ia menbabitkan wakil Ahli Parlimen Bangi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, wakil pemaju dan wakil Jabatan Kejuruteraan MPKj pada 18 Disember lalu.

Menurutnya, susulan itu pihak pemaju sudah diarahkan untuk melakukan kajian dan mengemukakan laporan cadangan bagi mengatasi masalah banjir di kawasan perumahan Taman Bangi Indah dan tanah lot persendirian di Batu 6, Bangi Lama dalam tempoh dua minggu.

"Pada 29 Disember satu lagi perbincangan diadakan berkenaan penyemakan reka bentuk cadangan penyelesaian isu banjir bersama wakil pemaju dan perunding. Notis Arahan sudah dikeluarkan kepada pihak pemaju bagi menjalankan kerja pembersihan semua pembetung 'culvert' sedia ada di Taman Bangi Indah yang dipenuhi sampah dan tanah sebagai langkah awal bagi mengatasi masalah banjir pada 3 Januari lalu," katanya dalam kenyataan.

Semalam, Harian Metro melaporkan keluhan penduduk di Taman Bangi Indah, Rumah Murah PKNS dan Kampung Batu 6, di sini yang sudah tidak tahan dengan kejadian banjir kilat di kawasan itu.

Masalah itu dikatakan sudah berlarutan sejak 2017 dan semakin serius lima tahun lalu.

Masalah itu didakwa disebabkan longkang utama iaitu longkang monsun (monsun drain) tidak dapat menampung kapasiti air hujan berlebihan dari penempatan baru berhampiran kerana longkang itu dibina hanya untuk tiga kawasan itu saja.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata, pihaknya mendapat aduan mengenai isu berkenaan dan susulan itu satu mesyuarat sudah diadakan bersama wakil daripada pemaju yang membangunkan kawasan berdekatan dengan ia turut disertai pihak berkenaan termasuk wakilnya.

"Ia membincangkan isu berkaitan beberapa perkara iaitu banjir di kawasan Batu 6 dikatakan berpunca daripada projek sedang berjalan di kawasan berkenaan oleh pemaju yang menyebabkan air dari tapak pembinaan mengalir ke laluan longkang belakang rumah penduduk.

"Beberapa perkara dibangkitkan berkenaan longkang yang tidak diselenggara dengan baik yang sudah penuh dengan pasir dan menyebabkan air lumpur turun ke jalan raya," katanya.

Menurutnya, pihak pemaju meminta dua minggu untuk meneliti semula pelan keseluruhan bagi projek yang sedang dijalankan dan mengambil kira penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi mengelakkan banjir kembali berlaku, isu longkang dan keselamatan di kawasan berkenaan.

Katanya, susulan itu, awal bulan lalu pihaknya dimaklumkan MPKj sudah mengarahkan pihak berkenaan untuk menjalankan kerja pembersihan pembetung 'culvert' yang tersumbat sebagai tindakan awal.

"Pemaju juga sudah diarahkan untuk menerangkan cadangan reka bentuk penambahbaikan sistem perparitan yang membabitkan lot individu dan mendapatkan kebenaran bertulis terlebih dahulu sebelum kerja dimulakan di tapak.

"Tindakan sedang diambil oleh pihak berwajib menyelesaikan isu berkenaan sejak bulan lalu dan ia akan mengambil sedikit masa untuk mendapat penyelesaian yang tuntas," katanya.

Katanya, biarpun beliau tiada kuasa untuk mengarahkan pihak berkuasa tempatan atau mana-mana agensi namun atas dasar tanggungjawab kepada penduduk, pihaknya sentiasa memantau isu berkenaan dan penduduk boleh memaklumkan kepada mereka jika terdapat isu berbangkit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 7:01 AM