Penduduk Kampung Batu 5 Bangi, Semenyih membersihkan kawasan rumah yang dilanda banjir kilat semalam. FOTO Ihsan penduduk
Penduduk Kampung Batu 5 Bangi, Semenyih membersihkan kawasan rumah yang dilanda banjir kilat semalam. FOTO Ihsan penduduk
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Semenyih: "Setiap kali hujan pasti hati resah memikirkan kemungkinan banjir kilat akan berlaku," kata Hamzah Jahit, 60, penduduk Kampung Batu 5 Bangi dekat sini, yang terjejas akibat banjir lumpur petang semalam.

Menurutnya, kejadian pada 5 petang itu menyebabkan dapur dan halaman luar rumahnya dipenuhi dengan lumpur.

"Hujan kira-kira sejam menyebabkan air naik kerana parit tidak dapat menampung kapasiti air.

"Projek perumahan berhampiran memburukkan lagi keadaan dan ini adalah kejadian kedua tahun ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, lima rumah penduduk kampung yang terletak berhampiran terjejas dan ada antara mangsa yang mengalami kerugian.

Katanya, parit berhampiran rumah tidak dapat mengalirkan air ke dalam Sungai Semenyih yang turut penuh menyebabkan ia melimpah semula ke dalam rumah penduduk.

"Aduan sudah dibuat kepada wakil rakyat dan agensi berkaitan termasuk pemaju agar masalah ini tidak terus membebankan penduduk.

"Sampai bila kami mahu hidup dalam keadaan resah setiap kali hujan kerana kemungkinan banjir kilat seperti ini boleh berlaku," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semenyih Zakaria Hanafi berkata, masalah banjir kilat itu sudah dimaklumkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, cadangan untuk mendalamkan parit di kawasan kampung berkenaan perlu dilakukan segera agar masalah sama tidak berulang.

"Saya sudah maklumkan masalah ini untuk diatasi segera kepada JPS dan MPKj kerana ja sering berulang.

"Satu tindakan jangka panjang perlu dilaksanakan segera supaya penduduk tidak terus menjadi mangsa terutamanya ketika musim hujan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pemaju perumahan berhampiran juga sudah dimaklumkan agar membina saliran lebih baik termasuk kolam takungan yang boleh menampung kapasiti air.

Katanya, bantuan segera akan diberikan kepada penduduk terjejas dan siasatan lanjut kini sedang dijalankan JPS dan MPKj di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 12:36 PM