Penduduk Kampung Batu 5 Bangi, Semenyih membersihkan kawasan rumah yang dilanda banjir kilat. FOTO IHSAN PENDUDUK
Penduduk Kampung Batu 5 Bangi, Semenyih membersihkan kawasan rumah yang dilanda banjir kilat. FOTO IHSAN PENDUDUK
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kajang: Pemaju projek perumahan Alam Sari, di sini, dikenakan tawaran kompaun kerana tidak mematuhi spesifikasi kawasan pembinaan sehingga menyebabkan berlaku banjir kilat pada Ahad lalu.

Kejadian banjir kilat berlumpur itu menyebabkan beberapa rumah di Kampung Batu 5 Bangi, di sini, dinaiki air.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Kamarul Izlan Sulaiman berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan di kawasan pembinaan berkenaan.

Beliau berkata, siasatan mendapati kawasan pembinaan berkenaan tidak menyediakan sistem saliran yang baik sehingga memberi impak kepada kampung berhampiran.

"MPKj sudah melawat kawasan pembinaan berkenaan untuk siasatan lanjut punca banjir kilat berlaku.

"Pemaju juga sudah diingatkan agar membina dan membaiki sistem saliran di kawasan projek agar kejadian sama tidak berulang," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, syarikat pemaju juga diminta untuk membina kolam takungan air agar kapasiti air dapat ditampung sebelum disalurkan ke Sungai Semenyih.

Katanya, MPKj juga akan memantau secara berterusan kawasan pembinaan di seluruh pentadbirannya agar mereka mematuhi spesifikasi ditetapkan.

"Musim monsun Timur Laut akan tiba tidak lama lagi dan menyebabkan hujan yang berkemungkinan meningkatkan kapasiti air sehingga berlaku banjir kilat.

"Pasukan pemantauan akan digerakkan untuk memantau agar kejadian seperti itu tidak menjejaskan kawasan kediaman berhampiran kawasan pembinaan," katanya.

Harian Metro kelmarin melaporkan Kampung Batu 5 Bangi, di sini, dilanda banjir kilat bercampur lumpur kali kedua, tahun ini.

Kejadian dipercayai berpunca daripada aliran air dari projek perumahan berdekatan.

Syarikat pemaju KL East Sdn Bhd mengakui sedang membina kolam takungan untuk menampung kapasiti air agar kejadian sama tidak berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 4:13 PM