KHAIRANI membersihkan rumahnya yang dilanda banjir kilat. FOTO Hazreen Mohamad
KHAIRANI membersihkan rumahnya yang dilanda banjir kilat. FOTO Hazreen Mohamad
Muhaamad Hafis Nawawi


Bangi: "Dah macam air teh tarik dan ini kejadian banjir yang paling buruk berlaku sejak 40 tahun saya menetap di kampung ini apabila terbaru berlaku Ahad lalu di mana air naik terlalu mendadak," kata mangsa banjir di Kampung Masjid Bangi, Khairani Khalid, 52.

Menurutnya, banjir ini kerap berlaku bermula awal tahun ini, selepas projek pembangunan dijalankan di hadapan rumahnya di mana apabila hujan, air lumpur akan memasuki sehingga ke dalam rumahnya.

"Dulu pernah banjir tetapi tidak seteruk ini dan setiap kali hujan pasti berlaku banjir kilat malah dua hari berturut-turut rumah saya dinaiki air.

"Pada hari Sabtu lalu air naik perlahan dan tidak sampai masuk ke dalam rumah namun Ahad lalu ia naik secara mendadak namun mujur ada barang berharga sudah dialih ke tempat lebih tinggi," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Khairani berkata, air naik kira-kira 5 petang dan surut pada 10 malam, Ahad lalu dan sehingga hari ini masih ada barang yang belum dibersihkan kerana takut banjir datang sekali lagi.

Sementara itu, Timbalan Nazir Masjid Khariah Bangi, Fauzi Khalid berkata, tahun ini sahaja sudah enam kali berlaku limpahan air ke kawasan masjid ini dan pihak khariah masjid terpaksa membersihkan kawasan perkarangan masjid setiap kali air masuk ke kawasan itu.

"Projek pembangunan itu bertentangan dengan masjid ini dan memang ada longkang di hadapannya tetapi tersumbat dengan tanah selut daripada projek terbabit.

"Sebab itu apabila hujan longkang itu tidak dapat menampung air sebelum ia melimpah masuk ke dalam kawasan masjid," katanya ketika ditemui di masjid terbabit.

Fauzi berkata, pihaknya juga terpaksa memasang kanvas kerana apabila hari panas debu akan masuk ke dalam kawasan masjid.

"Dalam pertemuan pagi tadi dengan pihak pemaju dan agensi kerajaan termasuk Ahli Parlimen Bangi, pihak pemaju berjanji akan membuat pembersihan segera di longkang itu dan membina longkang baru yang akan siap pada Mei ini.

"Kita harap masalah ini dapat diselesaikan kerana debu terbabit membuatkan orang yang solat di masjid ini tidak selesa," katanya.

Terdahulu penduduk turut mengadakan pertemuan dengan pihak pemaju, agensi kerajaan dan pejabat Parlimen Bangi di Dewan Komuniti Batu 6, Bangi bagi mencari jalan penyelesaian berkaitan banjir itu hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, pertemuan hari ini antara penduduk dengan agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan pelbagai pihak termasuk pemaju diadakan bagi mencari jalan penyelesaian berkaitan isu banjir di kawasan Pekan Bangi Lama ini.

"Ada beberapa kawasan yang kita sudah kenal pasti punca ia dan apa sebab berlaku banjir di mana kita juga sudah mendapat penjelasan kaedah untuk menyelesaikan perkara ini.

"Pihak pemaju juga memberi komitmen yang mana pertama mereka akan memastikan selepas ini apa jua tindakan ingin dilakukan akan dimaklumkan kepada penduduk dan pihak masjid," katanya.

Syahredzan berkata, jangka masa pendek ini, kerja pembersihan akan dilakukan di beberapa tempat yang menyebabkan banjir.

"Saya boleh katakan isu sebenar adalah pembangunan yang ada di sini tidak dapat ditampung oleh infrastruktur yang ada di kawasan ini.

"Sebab itu, ada pelan jangka masa panjang, sederhana dan sebagainya dibincangkan hari ini di mana sudah tentu kita mendengar luahan penduduk di sini yang kita faham apa dilalui mereka apabila banyak kali air naik," katanya.

Katanya, pihaknya cuba memastikan perkara ini dapat diselesaikan di mana perjumpaan hari ini dilihat membuahkan hasil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 6:20 PM