GAMBAR hiasan. FOTO Ihsan APMM.
GAMBAR hiasan. FOTO Ihsan APMM.
BERNAMA

Melaka: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APPM) Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah kapal tangki yang cuba lolos dari tahanan APMM Johor di perairan Selat Melaka awal pagi, hari ini.

Pengarahnya Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, kapal tangki MT JW Jewel berkenaan ditahan pada 2.30 pagi pada kedudukan 1.9 batu nautika dari pantai Tanjung Tuan.

"Kapal tangki MT JW Jewel itu sebelum ini ditahan oleh APMM Johor atas kesalahan bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Balau, Johor sebelum dikesan hilang dari kedudukan ia ditahan.

"Bagaimanapun, hasil kecekapan dan sistem APMM yang ada, kapal berkenaan berjaya dikesan semula oleh Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Lumut sekitar 9.55 malam tadi di perairan Tanjung Tuan, dipercayai sedang belayar menuju ke utara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Haris Fadzillah berkata, bot ronda APMM Melaka dan Negeri Sembilan kemudiannya diaturgerak ke lokasi untuk memintas kapal itu sebelum berjaya menahannya semula awal pagi hari ini.

Beliau berkata, 'master' dan ketua jurutera kapal warganegara Indonesia sudah dibawa ke Ibu Pejabat APMM Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 atas kesalahan belayar tanpa kebenaran pihak berkuasa dari posisi tahanan semasa notis tahanan dikeluarkan kepada kapal berkenaan.

Komuniti maritim diminta bekerjasama melaporkan sebarang aktiviti melanggar perundangan Malaysia di perairan Melaka dan Negeri Sembilan menerusi talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi APMM Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 3:31 PM