Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor (kiri) mengetuai kunjungan hormat UMS terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan UMS
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor (kiri) mengetuai kunjungan hormat UMS terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan UMS
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Lima daripada enam telaga tiub yang dibina di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggunakan dana RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Mei tahun lalu, sudah siap digerudi setakat semalam.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, selain baki satu lagi telaga menggunakan dana itu yang digerudi ketika ini, ada dua lagi telaga baharu turut dalam proses penggerudian, menjadikan tiga telaga lagi bakal disiapkan selewat-lewatnya pada 26 Mac depan.

Katanya, apabila keseluruhan kerja penggerudian itu selesai, kampus UMS akan dilengkapi sembilan kemudahan telaga tiub, masing-masing satu yang sudah beroperasi dan lapan telaga baharu yang sedang dalam proses penyiapan.

"Setakat ini, kita sudah siap menggerudi sebanyak lima telaga tiub untuk mendapatkan air bawah tanah dan kita menggerudi tiga lagi ketika ini.

"Jadi sekarang, ada lima (telaga tiub) dalam proses untuk kita sedut air bawah tanah dengan kedalaman antara 80 meter (m) hingga 120 m.

"Setiap telaga tiub itu boleh mengeluarkan antara 120,000 hingga 150,000 liter air sehari," katanya ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, di sini, semalam.

Kunjungan itu bagi memaklumkan Tun Juhar yang juga Canselor UMS mengenai pelantikan semula Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Pro-Canselor UMS.

Kasim berkata, dengan adanya sembilan telaga tiub beroperasi di kampus induk UMS itu nanti, pihaknya berharap ia boleh menampung sekurang-kurangnya 1.2 juta liter air sehari (MLD) keperluan air warganya.

"Bagaimanapun, sumber air bawah tanah ini bukan untuk diminum, tapi digunakan untuk pembersihan dan keperluan di bilik air seperti mandi dan sebagainya," katanya.

Berikutan itu, katanya UMS masih memerlukan bekalan air bersih yang disalurkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bagi menampung keperluan kira-kira 20,000 pelajar dan kakitangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 9:05 AM