GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid dan Suharmin Yusuf


Kuala Lumpur: Penjualan spesies hidupan liar eksotik dalam talian kini tidak lagi menyimpan haiwan berkenaan, sebaliknya menggunakan konsep orang tengah melalui kaedah 'dropship'.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kegiatan penjualan hidupan liar dalam talian ini membabitkan penjual berlesen dan tidak berlesen oleh pemburu haram atau pembiak baka haram dan sindiket.

"Modus operandi yang digunakan oleh penjual hidupan liar dalam talian adalah dengan menggunakan kaedah tunai ketika hantar (COD), kurier dan pengangkutan awam.

"Pada masa ini, penjualan juga menggunakan konsep orang tengah melalui kaedah 'dropship' yang tidak menyimpan hidupan liar dan hanya mengambil komisen di atas penjualan hidupan liar berkenaan.

"Penggunaan media sosial yang luas dan kawalan privasi yang ketat menyukarkan usaha untuk menjejaki individu penjenayah yang sebenar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan mengenai peningkatan jualan spesies hidupan liar eksotik secara dalam talian, ketika ini.

Nik Nazmi berkata, kementerian melalui Jabatan Perhilitan sudah melaksanakan pelbagai tindakan untuk menangani kegiatan ini yang semakin berleluasa.

Menurutnya, ia termasuk mengukuhkan kerangka perundangan melalui pindaan Akta 716 dengan menambah peruntukan khusus serta meningkatkan hukuman kepada penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda maksimum RM1 juta sebagai salah satu pendekatan pencegahan.

"Di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam (Akta 686), kesalahan mengimport dan mengeksport hidupan liar tanpa permit boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara selama tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya bagi orang perseorangan dan denda maksimum RM2 juta bagi pertubuhan perbadanan.

"Selain tindakan undang-undang, kempen kesedaran awam turut dilaksanakan secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kesalahan perdagangan haram hidupan liar," katanya.

Nik Nazmi berkata, Perhilitan juga giat bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, CyberSecurity Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi meningkatkan keberkesanan usaha memerangi jenayah hidupan liar.

Dalam pada itu, beliau berkata, Perhilitan merekodkan sebanyak 654 aduan kes penjualan hidupan liar eksotik secara dalam talian melalui pelbagai platform media sosial antara 2020 hingga Disember 2023.

Katanya, spesies hidupan liar primat adalah spesies yang paling tinggi diperdagangkan iaitu sebanyak 215 ekor diikuti spesies mamalia kecil dan burung.

"Mengikut rekod daripada tahun 2015 hingga 2023, sebanyak 58 kes penjualan hidupan liar di media sosial telah diambil tindakan oleh Jabatan Perhilitan.

"Daripada jumlah itu, 25 kes sudah selesai manakala kes yang selebihnya dalam proses siasatan dan pendakwaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 7:10 PM