NIK Nazmi mempengerusikan Mesyuarat Kedua Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (National Tiger Conservation Task Force – MyTTF) hari ini.
NIK Nazmi mempengerusikan Mesyuarat Kedua Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (National Tiger Conservation Task Force – MyTTF) hari ini.
Sudirman Mohd Tahir dan Suharmin Yusuf


Kuala Lumpur: Mesyuarat Kedua Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (National Tiger Conservation Task Force – MyTTF) bersetuju menjadikan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai pusat kecemerlangan (Centre of Excellence).

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia melalui pengukuhan fungsi, perjawatan, perkakasan teknologi penyelidikan dan kerjasama strategik.

"Terdapat banyak perkembangan positif sejak pengumuman pelaksanaan sembilan tindakan strategik luar biasa (extraordinary actions) konservasi Harimau Malaya yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 16 Jun 2021.

"Pencapaian ini menunjukkan bahawa usaha menyelamatkan Harimau Malaya akan membuahkan hasil jika Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bersepakat dan meletakkan komitmen yang tinggi dalam menangani krisis populasi Harimau Malaya," katanya.

Sementara itu melalui mesyuarat yang dipengerusikan olehnya itu turut bersetuju untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) mewujudkan Pangkalan Operasi Hadapan di Tapak Kem Zabri, Hulu Perak.

Nik Nazmi juga berkata berdasarkan pencerapan saintifik oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya 15 kelahiran baharu Harimau Malaya secara semula jadi di Kelantan, Pahang, Perak dan Terengganu.

"Pelaksanaan rondaan dan kawalan biodiversiti (boots on the ground) melalui pelantikan Renjer Komuniti dan Operasi Bersepadu Khazanah oleh Jabatan PERHILITAN dengan kerjasama PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Pihak Berkuasa Negeri dan pertubuhan bukan kerajaan juga mencatatkan kejayaan dengan 531 tangkapan membabitkan sitaan berjumlah RM123.91 juta.

"Mesyuarat MyTTF juga bersetuju untuk memperluaskan pelaksanaan Skim Akreditasi Conservation Assured Tiger Standards (CATS) bagi mengukuhkan keberkesanan pengurusan habitat Harimau Malaya. Bagi tujuan ini, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) diberi tanggungjawab untuk menerajui pelaksanaan CATS di peringkat nasional," katanya.

Pada Mesyuarat Kedua Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (National Tiger Conservation Task Force – MyTTF) itu, sebanyak tiga Kertas Pertimbangan dan dua Kertas Makluman merangkumi inisiatif mempertingkatkan usaha konservasi spesies Harimau Malaya dan habitatnya di Semenanjung Malaysia dibentangkan.

Menurutnya lagi, mesyuarat juga bersetuju dengan Pindaan Terma Rujukan National Tiger Conservation Task Force – MyTTF bagi mengukuhkan peranan MyTTF.

Turut hadir pada Mesyuarat Kedua Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (National Tiger Conservation Task Force – MyTTF) ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Kelantan, Pahang, Perak dan Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 7:18 PM