PENJUALAN haiwan liar di platform  media sosial dikesan seawal 2013.
PENJUALAN haiwan liar di platform media sosial dikesan seawal 2013.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Seramai lebih 100,000 pembeli haiwan liar dilindungi dikenal pasti aktif berurus niaga di dalam media sosial membabitkan jual beli 100 spesies haiwan melalui pasaran gelap.

Perkara itu didedahkan Ketua Pengarah Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar Semenanjung Malaysia (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim susulan risikan dilakukan pihaknya.

Beliau berkata, pasar haram hidupan liar di dalam laman sosial sudah mula dikesan seawal 2013 dan kian aktif sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini membabitkan kewujudan 50 akuan sesawang sosial.

"Media sosial menjadi medium pasar haram haiwan dilindungi berikutan kurang berisiko, modal kewangan rendah dan keuntungan tinggi. Ia bukan hanya tertumpu di laman sosial Facebook malah melangkaui semua media sosial dan laman e-dagang.

"Berdasarkan siasatan, daripada 100 spesies hidupan liar diperdagangkan, 70 peratus daripadanya dikenal pasti haiwan yang haram diperdagangkan," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 50 peratus daripada haiwan itu ditangkap dari habitat asal antaranya Orang Utan, burung kakak tua, kucing hutan, musang pandan, burung helang, burung pungguk, ungka, beruang, kura-kura dan monyet.

"Dalam sehari, sekurang-kurangnya ada 30 iklan penjualan hidupan liar dikesan berlegar di media sosial dan didalangi lebih 100 individu.

"Saya percaya kumpulan penjual hidupan liar dilindungi ini ada rangkaian kerjasama membabitkan pembabitan pemburu haram, orang tengah, penjual dan juga penyeludup," katanya.

Kadir berkata, saluran media sosial menjadi pilihan aktiviti jual beli haiwan liar kerana ia membolehkan suspek menyembunyikan maklumat peribadi seperti.

"Kebanyakan penjua menggunakan akaun palsu (fake account). Selepas mendapat pembeli berpotensi, penjual menghantar hidupan liar menggunakan kaedah seperti bayaran tunai semasa penghantaran (COD), kurier seperti pos ataupun menggunakan perkhidmatan awam seperti bas ekspres.

"Ada kaedah lain digunakan penjual haram ini sehingga sukar dikesan dan bertujuan mengelirukan pihak berkuasa. Penjualan menggunakan kaedah dropshipping dilihat semakin popular kerana, penjual tidak perlu modal permulaan dan tidak perlu untuk menyimpan stok," katanya.

Beliau berkata, mengikut rekod, peningkatan jumlah aktiviti ini dilihat meningkat saban tahun dengan penggunaan telefon pintar dan pakej langganan internet pakai buang memudahkan lagi penjenayah hidupan liar ini melakukan aktiviti haram.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 8:02 AM