Kakitangan syarikat penerbangan Batik Air  bergambar di majlis Amanat Tahun Baharu 2024 dan sidang media Pengumuman Khas Sempena  Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Kakitangan syarikat penerbangan Batik Air bergambar di majlis Amanat Tahun Baharu 2024 dan sidang media Pengumuman Khas Sempena Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Kementerian Pengangkutan mengumumkan inisiatif tambahan membabitkan perkhidmatan penerbangan, rel dan bas sempena perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) bulan depan.

Menterinya, Anthony Loke, berkata, inisiatif itu membabitkan penerbangan tambahan syarikat Batik Air dari Kuala Lumpur ke Sabah dan Sarawak, penambahan perjalanan tren elektrik (ETS) dari Kuala Lumpur ke Ipoh dan Padang Besar serta membuka permohonan tambahan untuk Lesen Perubahan Sementara (LPS).

"Sukacita saya ingin umumkan bahawa Batik Air menyahut seruan kerajaan dengan menawarkan penerbangan tambahan pada 6 dan 7 Februari ini.

"Batik Air juga bersetuju menawarkan tambang ekonomi harga tetap pada RM399 untuk laluan sehala Kuala Lumpur ke Sibu dan tambang khas ini terpakai untuk lapan penerbangan laluan berkenaan bagi perjalanan dari 6 hingga 9 Februari ini," katanya tadi.

Loke berkata, Batik Air juga akan memulakan perkhidmatan berjadual ke Sibu dan Tawau berbanding dari Kuala Lumpur ke Kuching dan Kota Kinabalu sebelum ini.

Katanya, inisiatif itu adalah sebagai tambahan kepada tawaran tambang tetap oleh AirAsia dan tambahan 20 penerbangan Malaysia Airlines dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak sempena musim perayaan kali ini.

"Bagi perkhidmatan rel pula, KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad) akan menambah empat perkhidmatan ETS perjalanan dari laluan KL Sentral - Ipoh - KL Sentral pada 7 hingga 13 Februari ini selain dua ETS tambahan bagi laluan KL Sentral - Padang Besar - KL Sentral pada 7 Februari sehingga 10 Mac ini.

"Dua daripada empat perkhidmatan tambahan KL Sentral - Ipoh - KL Sentral adalah tren ekspres yang hanya akan mengambil masa dua jam sehala berbanding masa perjalanan biasa iaitu 2 jam 40 minit dengan keseluruhan tiket ditawarkan adalah sebanyak 29,526 tiket," katanya.

Mengenai LPS, Loke berkata, permohonan bas tambahan itu akan mula dibuka pada 15 Januari hingga 2 Februari ini.

"Tempoh sah laku LPS adalah pada 7 hingga 18 Februari ini dan kita menjangkakan jumlah (bas tambahan) ini akan lebih tinggi berbanding tahun lalu di mana kita berjaya menambah sejumlah 296 bas.

"Selain itu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sudah mengeluarkan notis peringatan kepada semua pengendali terminal bas untuk menambah kakitangan dan jumlah kaunter bagi mengurus penambahan penumpang pada musim perayaan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 12:38 PM