KUALA LUMPUR 20 APRIL 2022. Orang awam membeli tiket bas ketika tinjauan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan. NSTP/AIZUDDIN SAAD
KUALA LUMPUR 20 APRIL 2022. Orang awam membeli tiket bas ketika tinjauan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan. NSTP/AIZUDDIN SAAD
Anis Syuhada Mohd Rosli dan Natrah Laili Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Pengangkutan awam masih menjadi pilihan alternatif bagi rakyat untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri sekali gus dapat mengelakkan masalah kesesakan lalu lintas.

Pilihan itu dibuktikan dengan penjualan tiket bas dan kereta api yang laris umpama pisang goreng panas.

Pengurus Kanan Operasi Maju Tmas Sdn Bhd, Faizal Redzuan berkata, trend penjualan tiket bas ekspres di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) semakin meningkat menjelang 10 hari terakhir Ramadan.

"Tiket yang dijual bagi waktu puncak iaitu antara 28 April hingga 2 Mei adalah 134,000 atau 67 peratus.

"Selain itu, anggaran tiket yang dijual sempena Aidilfitri ini adalah 7,300 keping sehari.

"Perkhidmatan bas tambahan turut disediakan dengan menggunakan permit Lesen Perubahan Sementara (LPS)," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, destinasi popular adalah Pantai Timur iaitu Kota Bharu, Kuantan, Kuala Terengganu manakala di kawasan Utara ialah Butterworth, Amanjaya dan Sungai Petani.

Sementara itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan satu perkhidmatan tren khas buat Keluarga Malaysia yang dikenali sebagai Ekspres Khas Keluarga Malaysia untuk rakyat pulang ke destinasi pilihan.

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha berkata, perkhidmatan ini mula beroperasi pada 29 April bagi laluan Pantai Timur dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya.

Katanya, sebanyak 696 tiket ditawarkan untuk perkhidmatan tren khas yang merangkumi tiga koc tempat tidur, 540 tempat duduk superior dan 36 tempat duduk premium.

Katanya, sebanyak 81 peratus tiket terjual bersamaan 1,133 tiket manakala masih terdapat baki 19 peratus tiket belum dijual setakat 27 April.

"Tiket bagi laluan Kuala Lumpur ke Tumpat sudah habis dijual namun masih terdapat kekosongan bagi laluan Tumpat ke Kuala Lumpur.

"Tiket mula dijual pada 15 April dengan harga daripada RM55 sehingga RM83 bagi perjalanan sehala dan tiada tambang konsesi bagi tren ini," katanya.

Mohd Zain berkata, KTMB menawarkan sebanyak 244,502 tiket bagi perkhidmatan ETS dan KTM Intercity antara 23 April hingga 8 Mei.

Katanya, setakat 21 April, sebanyak 147,483 tiket sudah terjual.

"Namun, tiket perjalanan pada 29 April hingga 1 Mei bagi laluan KL Sentral ke Padang Besar sudah habis.

"Untuk musim perayaan ini, KTMB turut menyediakan dua tambahan perkhidmatan ETS dengan 4,410 tiket," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 2:36 PM