PEGAWAI SPAD Wilayah Selatan memeriksa tiket pada penumpang di Larkin Sentral, Johor Bahru. FOTO Ihsan SPAD
PEGAWAI SPAD Wilayah Selatan memeriksa tiket pada penumpang di Larkin Sentral, Johor Bahru. FOTO Ihsan SPAD
Izlaily Nurul Ain Hussein


SURUHANJAYA Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Wilayah Selatan mengesan pengusaha bas ekspres mengambil kesempatan mengenakan tambang berlipat kali ganda sempena cuti Tahun Baru Cina, baru-baru ini.

Jurucakapnya berkata, dalam operasi khas sejak 9 Februari lalu, pihaknya mendapati ada pengusaha meletakkan harga tiket bas antara RM120 hingga RM300 bagi satu tiket perjalanan sehala dari Johor Bahru ke Utara.

"Kita menjalankan pemantauan 24 jam sepanjang operasi sempena perayaan ini mendapati tiket bas bagi semua destinasi habis dijual termasuk tiket menerusi Lesen Perubahan Sementara (LPS) untuk bas tambahan.

"Malah, kita juga menerima aduan tambang lebih yang dikenakan terutama pada 14, 15 dan 16 Februari lalu bagi bas ekspres dan bas tambahan ke Utara dan Pantai Timur.

"Kadar tambang lebih yang dikesan membabitkan bas ekspres ke Utara yang mencecah harga RM120 hingga RM300 seorang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kesalahan itu akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, pada masa sama tindakan penggantungan permit atau lesen pengendali juga akan diambil.

Selain itu, katanya, dalam operasi khas, pihaknya mendapati ramai pengguna terkandas kerana tiada tiket pada malam Tahun Baru Cina terutama warga asing yang ingin ke Kuala Lumpur.

Katanya, Op Khas SPAD Wilayah Selatan akan dijalankan sehingga 25 Februari ini dan pihaknya menumpukan kawasan terminal bas utama seperti Larkin Sentral dan Taman Ungku Tun Aminah, Skudai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 6:23 PM