MOHAMMED Azman Aziz. FOTO Hazreen Mohamad
MOHAMMED Azman Aziz. FOTO Hazreen Mohamad
Mahaizura Abd Malik

Ampang: Majikan tidak mencarum pekerja atau mendaftar di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meningkat kepada 21.73 peratus tahun lalu berbanding 18.74 peratus pada 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, jumlah itu direkodkan melalui Ops Kesan yang dijalankan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

"Kita buat 4,450 pemeriksaan menerusi Ops Kesan ke-14 tahun lalu dan daripada jumlah itu, 967 notis kompaun dikeluarkan di bawah Akta 4 dan Akta 800 dengan peratusan tidak patuh sebanyak 21.73 peratus.

"Jumlah ini meningkat sedikit berbanding Ops Kesan ke-13 apabila 635 notis kompaun dikeluarkan daripada 3,388 pemeriksaan dijalankan pada 2022 yang menyaksikan 18.74 peratus tidak patuh," katanya.

Beliau berkata demikian selepas kunjungan Ziarah Prihatin Perkeso di kediaman ibu wartawan hiburan, Allahyarham Siti Nor Hafiza Kamarudin di Taman Sri Raya di sini, hari ini.

Kunjungan bagi menyampaikan bayaran berkala Faedah Pencen Penakat serta Faedah Pengurusan Mayat (FPM) itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad.

Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, pekerja dinasihatkan sentiasa peka dengan menyemak pembayaran caruman Perkeso masing-masing dari semasa ke semasa.

"Setiap tahun Perkeso buat pemeriksaan ke atas majikan menerusi Ops Kesan yang memasuki tahun ke-14, kita dapati masih ada lagi degil tidak berdaftar dan mencarum walaupun mereka tahu kita beri pemutihan dan (buat) Ops Kesan.

"Jadi, elok dari semasa ke semasa pastikan datang ke pejabat Perkeso, malah kita pun ada Aplikasi Prihatin Perkeso yang boleh memudahkan orang ramai menyemak makluman caruman mereka.

"Jika majikan gagal mencarum, maklumkan kepada Perkeso. Kita akan hantar pasukan kita siasat dan ambil tindakan," katanya.

Selain itu beliau berkata, ramai lagi masih tidak mengetahui kelayakan menerima Faedah Pencen Penakat biarpun sudah berhenti kerja.

"Setiap kelayakan caruman ada kiraan tersendiri contohnya kalau dia kerja tahun 1985 sampai sekarang dia akan menerima kelayakan penuh.

"Ada juga bekerja tetapi berhenti contohnya 2010 dan mencarum 10 tahun jadi untuk tahun berikutnya contohnya mungkin 15 hingga 20 tahun, dia masih layak sebab kita ambil kiraan caruman sekurang-kurangnya satu pertiga tempoh caruman dia bekerja.

"Jadi walaupun sudah berhenti kerja, boleh semak dengan Perkeso kerana ada kes tidak tahu mereka masih layak terima faedah itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 2:59 PM