Roslinda (kanan) dan Megat menyampaikan FPM kepada Sanisah dikediamannya di Taman Berjaya, Labis.
Roslinda (kanan) dan Megat menyampaikan FPM kepada Sanisah dikediamannya di Taman Berjaya, Labis.
Ahmad Ismail.


“ARWAH suami pernah cakap akan tinggalkan sesuatu untuk masa depan kami walaupun dia sendiri mungkin tidak menikmatinya,” kata balu, Sanisah Sahari, 40.

Suaminya, Mohd. Radzuan Idrus maut selepas lemas di Sungai Lenga, Muar, 5 Mac, lalu.

Menurutnya, arwah suaminya kerap bergurau mengenai kematian beberapa hari sebelum kejadian lemas itu namun berahsia melakukan caruman dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Sangat bersyukur dan tidak sangka caruman Perkeso arwah suami dapat mengurangkan bebanan hidup saya dan anak perempuan yang juga pelajar berusia 18 tahun.

“Walaupun arwah hanya bekerja sebagai pemotong rumput namun amat bijak dalam mengurus perbelanjaan keluarga.

“Saya tidak tahu dia ada caruman Perkeso namun pernah menyatakan telah melakukan jaminan keluarga jika sesuatu berlaku terhadapnya,” katanya ditemui di rumahnya di Taman Berjaya Labis, Segamat, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Perkeso Segamat, Roslinda Juanis, Penolong Pengurus, Megat Najib dan Skuad Prihatin Perkeso Segamat

Sanisah berkata, rahsia caruman dilakukan suaminya itu terbongkar selepas dikunjungi pihak Perkeso Segamat.

“Pencen penakat yang diterima tiap bulanan atas caruman aruah akan digunakan sebaiknya selain bercadang melakukan perniagaan makanan secara kecil-kecilan selain meneruskan kerja sebagai pengasuh kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, Roslinda berkata, waris Mohd. Radzuan layak menerima pencen penakat sebanyak RM475 tiap bulanan seumur hidup dan pihaknya akan bertemu majikan arwah dalam masa terdekat untuk mengetahui jumlah gaji dan caruman sebenar dilakukannya.

“Balu turut diberikan RM2,000 atas Faedah Pengurusan Mayat (FPM) selain memilih mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso sebagai pengasuh.

“Waris tidak menyangka layak menerima Pencen Penakat dari Perkeso atas kematian suami di luar waktu kerja selain kelayakan penerima faedah syer terhadap anaknya sehingga berusia 21 tahun atau sehingga Ijazah Pertama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 6:39 PM