PERKESO Wilayah Persekutuan menyampaikan Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat kepada waris. FOTO Asyraf Hamzah
PERKESO Wilayah Persekutuan menyampaikan Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat kepada waris. FOTO Asyraf Hamzah
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Waris kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Konstabel Muhammad Irman Hilmi yang maut akibat kemalangan jalan raya ketika bertugas di Jalan Kampong Cina, Pantai Remis Manjung, Perak pada 18 Disember lalu menerima Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengarah Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohamad Asri Ngosman memaklumkan sebelum berkhidmat sebagai anggota PDRM, Allahyarham Muhammad Irman juga pernah bekerja sebagai juruteknik di Syarikat Juta Automation & Controls Sdn Bhd.

Beliau berkata, arwah yang masih bujang meninggalkan warisnya iaitu bapa, Hilmi Abdul Hamid, 46, dan ibu, Roszita Abdullah, 46.

Menurutnya, caruman yang pernah dibuat sebelum ini sudah melayakkan kedua-dua waris layak menerima bayaran Faedah Pencen Penakat berjumlah RM 422.50 sebulan dan akan dibayar sepanjang hayat, selain turut menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000.

"Pencen Penakat adalah satu daripada faedah yang ditawarkan menerusi Skim Keilatan di bawah Akta 4. Pencen Penakat dibayar kepada orang tanggungan yang layak apabila Orang Berinsurans (OB) meninggal dunia atas sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.

"Antara syarat kelayakan faedah ini ialah OB yang meninggal dunia sebelum mencapai umur 60 tahun dan memenuhi syarat kelayakan caruman atau OB yang meninggal dunia semasa sedang menerima Pencen Ilat tanpa mengambil kira had umurnya.

"Walaupun kita tahu penjawat awam seperti anggota PDRM tiada caruman di bawah Perkeso, namun kita dapati caruman arwah di bawah majikan terdahulu masih melayakkan waris untuk menerima manfaat yang sama di bawah skim sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyampaikan sumbangan dan faedah Perkeso itu kepada waris keluarga di Kuarters Institusi Pendidikan Sentul Utama (KIPSU), di sini, hari ini.

Hadir sama, wakil Biro Kebajikan Persatuan Keluarga Polis Malaysia (Perkep) Zalida Elias.

Harian Metro sebelum ini melaporkan dalam kejadian pada 18 Disember lalu, Muhammad Irman maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai terbabas di Jalan Kampung Cina-Pantai Remis di Perak.

Mangsa yang berusia 27 tahun bertugas di Balai Polis Pantai Remis dalam perjalanan menjalankan tugas.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, dilaporkan berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan insiden itu 2.35 petang.

"Berdasarkan siasatan di lokasi kejadian, mangsa didapati bergerak dari arah Pekan Pantai Remis menghala ke Kampung Cina.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia jam 6.30 petang," katanya dalam kenyataan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 4:20 PM