Zaid Salim


Kuala Nerus: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu sudah mendakwa 32 majikan kerana gagal mencarum dan mendaftar di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, seramai 77 majikan pula dikenakan kompaun kerana lewat melaporkan kemalangan dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kebanyakan majikan yang gagal mencarum pekerja adalah membabitkan sektor perniagaan seperti restoran yang beroperasi pada waktu malam.

"Sehubungan itu, Perkeso akan menukar strategi dengan menjalankan operasi pada waktu malam selepas tamat tempoh Op Pemutihan bagi memastikan pengusaha kedai makan mendaftar dan mencarum perusahaan dan pekerja termasuk pekerja warga asing," kata pada sidang media selepas menyantuni keluarga dua beradik yang maut dalam kemalangan di Senawang, Jumaat lalu di Kampung Pengkalan Batu, di sini, hari ini.

FARIHAH (kiri) menyerahkan pencen penakat kepada Nur Farahan. FOTO Ghazali Kori
FARIHAH (kiri) menyerahkan pencen penakat kepada Nur Farahan. FOTO Ghazali Kori

Farihah berkata, kesalahan gagal mendaftar dan mencarum boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 94 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Katanya, Perkeso tidak akan berkompromi dengan syarikat atau majikan yang gagal melaksanakan tanggungjawab terhadap pekerja dan perusahaan.

"Saya nasihatkan supaya majikan dan pekerja mengambil berat akan kepentingan caruman dengan Perkeso untuk menjamin kebajikan bukan saja pekerja tetapi waris mereka," katanya.

Pada majlis itu, Farihah menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 serta Faedah Pencen Penakat sebanyak RM1,300 kepada Nur Farahah Shahdan, 32, iaitu balu Allahyarham Mohd Husaini Amir Harun, 29.

Farihah berkata, pihaknya kini sedang menjalankan Op Pemutihan Perkeso 2023 bermula Mei hingga 30 Jun bagi memberi ruang kepada majikan yang layak tampil secara sukarela mendaftar dan mencarum pekerja dan perusahaan termasuk pekerja asing.

"Dalam tempoh pemutihan, tiada tindakan kompaun dan pendakwaan yang akan dibuat walaupun majikan melewati tempoh pendaftaran yang ditetapkan dalam Akta," katanya.

Menurutnya, Faedah Caruman Lewat Bayar yang akan dikenakan dan terpakai dalam Akta 4 dan Akta 800 juga dikecualikan sepanjang tempoh Op Pemutihan.

Justeru katanya, majikan digesa agar mengambil peluang itu bagi mengelak dikenakan tindakan selepas tamat tempoh berkenaan.

"Sekiranya masih ada majikan yang gagal berbuat demikian tiada lagi pengecualian akan dipertimbangkan kerana Perkeso tidak akan berkompromi dengan majikan yang gagal mendaftar dan membuat caruman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 2:56 PM