Mohamed Farid Noh

Kota Tinggi: Ratusan warga asing yang berjalan beramai-ramai di satu kawasan daerah ini sehingga menimbulkan kegusaran awam, ditahan polis.

Video ratusan warga asing yang berjalan beramai-ramai itu tular di media sosial sejak malam tadi sehingga menyebabkan kebimbangan masyarakat.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kejadian ratusan warga asing berjalan beramai-ramai itu berlaku pada Rabu lalu.

Katanya, susulan laporan polis dibuat Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sepasukan polis dihantar ke lokasi kejadian bagi membuat pemeriksaan lanjut.

"Ya benar, video yang tular itu adalah kejadian baharu minggu lalu. Mereka difahamkan menuju ke Balai Polis Bayu Damai bagi membuat laporan polis berikutan ditipu ejen pekerjaan yang tidak memberi pekerjaan.

"Kejadian berlaku pada pagi Rabu lalu apabila ratusan warga Bangladesh dikesan berjalan kaki di kawasan hadapan simpang masuk, Teluk Ramunia Bayu Damai," katanya dalam kenyataan, hari ini.

sekumpulan 171 lelaki warga Bangladesh berjalan ke Balai Polis Bayu Damai, kira-kira 10 kilometer dari asrama mereka bagi membuat laporan. FOTO Tular
sekumpulan 171 lelaki warga Bangladesh berjalan ke Balai Polis Bayu Damai, kira-kira 10 kilometer dari asrama mereka bagi membuat laporan. FOTO Tular

Beliau berkata, laporan polis dibuat ATM pada hari kejadian dan susulan itu sepasukan polis dihantar bagi membuat pemeriksaan dan tindakan lanjut.

"Hasil tindakan pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen (JIM) seramai 171 lelaki warga Bangladesh berusia antara 19 hingga 43 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Dalam video tular satu minit 33 saat itu, seorang pengguna yang memandu kereta terkejut dengan kehadiran ratusan warga asing berjalan kaki dalam barisan yang panjang.

Ia menyebabkan kebimbangan awam berikutan kehadiran terlalu ramai warga asing itu.

Dalam pada itu, Hussin berkata, kesemua tangkapan warga asing berkenaan dihantar ke Jabatan Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru bagi siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 11:25 AM