PATI yang ditahan berhampiran kilang gula di Chuping. FOTO Ihsan AKSEM.
PATI yang ditahan berhampiran kilang gula di Chuping. FOTO Ihsan AKSEM.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


LAPAN pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di belakang sebuah kilang gula di Chuping, Padang Besar, hari ini.

Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis, Deputi Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kehadiran tujuh lelaki bersama seorang wanita asing dalam keadaan mencurigakan di sekitar kawasan kilang berkenaan pada 1.05 tengah hari.

Katanya, AKSEM ke kawasan berkenaan menemui mereka yang berusia antara 13 hingga 38 tahun berjalan beramai-ramai disyaki baru masuk ke negara ini.

“Pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Mereka kemudian ditahan dan dibawa ke Kompleks AKSEM Chuping,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua ditahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002 bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes terbabit diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 8:51 PM