sekumpulan 171 lelaki warga Bangladesh berjalan ke Balai Polis Bayu Damai, kira-kira 10 kilometer dari asrama mereka bagi membuat laporan. FOTO Tular
sekumpulan 171 lelaki warga Bangladesh berjalan ke Balai Polis Bayu Damai, kira-kira 10 kilometer dari asrama mereka bagi membuat laporan. FOTO Tular
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Insiden 171 warga Bangladesh berjalan beramai-ramai di Pengerang, Johor yang tular di laman sosial selepas mendakwa ditipu ejen pekerjaan disebabkan berlaku lebihan pekerja asing di negara ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) Dr N Sukumaran mendedahkan ramai pekerja asing seperti dari Bangladesh berada di negara ini, tetapi tidak mempunyai pekerjaan.

Dakwanya, ini semua berpunca akibat ejen pengrekrutan dari Bangladesh yang merosakkan sistem pengrekrutan pekerja asing di Malaysia dengan melakukan pengambilan secara tidak sah.

"Contohnya majikan itu hanya perlukan 50 orang pekerja sahaja, tetapi dia buat permohonan sehingga 100 ke 150 orang.

"(Manakala) kerajaan kita pula tidak buat satu naziran yang betul untuk mengenal pasti sama ada kelulusan permohonan kebenaran untuk membawa masuk pekerja ini perlu atau tidak.

"Bila kita beri kebenaran mereka masuk, pekerja berlebihan itu nak dihantar ke mana?" katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Mengulas lanjut, Sukumaran berkata, pekerja yang berlebihan itu terpaksa mencari pekerjaan lain secara sendirian.

"Mereka ini ada permit, tetapi tidak bekerja dengan majikan yang sepatutnya mereka bekerja," katanya.

Selain itu katanya, lebihan pekerja asing ini membawa kesan buruk apabila mewujudkan koloni di sesetengah kawasan.

"Oleh kerana majikan itu tidak perlukan orang ini, mereka nak tinggal di mana? Disebabkan itu wujudnya 'mini Dhaka' ini," katanya.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan atau pihak berkuasa untuk menyemak semula kebenaran permohonan pengambilan pekerja asing yang dibuat oleh ejen pekerjaan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora sebelum ini dilaporkan berkata, sekumpulan 171 lelaki warga Bangladesh berjalan ke Balai Polis Bayu Damai, kira-kira 10 kilometer dari asrama mereka bagi membuat laporan.

Mereka berusia 19 hingga 43 tahun mendakwa tidak mendapat tawaran kerja daripada ejen dalam tempoh tiga hingga enam bulan lalu.

Kesemua mereka yang mempunyai dokumen sah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia kerana tinggal lebih masa di negara ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 2:56 PM