Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman (tengah) bergambar bersama usahawan sempena Program Menembusi Pasaran Indonesia di sebuah hotel di sini. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman (tengah) bergambar bersama usahawan sempena Program Menembusi Pasaran Indonesia di sebuah hotel di sini. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Enam usahawan Terengganu berjaya menembusi pasaran Indonesia dan layak memasarkan produk makanan di negara berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, pihak Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu akan terus membantu mengembangkan perniagaan usahawan itu dan mereka yang berpotensi ke luar negara.

"Saya difahamkan enam usahawan Terengganu ini berjaya mendapat kelulusan Badan Pengawas Ubat dan Makanan (BPOM) iaitu syarat utama bagi memasarkan produk di Indonesia.

"Jadi kerjasama (dengan Matrade) pada hari ini disambut baik kerajaan negeri kerana dapat membantu meluaskan lagi pasaran produk usahawan Terengganu ke peringkat lebih jauh lagi.

"Lebih-lebih lagi dengan bilangan penduduk Indonesia yang melebihi ratusan juta orang, ia peluang yang amat besar sekali buat usahawan kita memasarkan produk mereka ke negara itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Menembusi Pasaran Indonesia, di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Afnida Aini Alwi.

Ariffin berharap lebih ramai usahawan negeri yang berpotensi dapat berkembang dan mampu mengeksport produk ke luar negara selain menjalani pembangunan produk berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 5:59 PM