HAWA menunjukkan produk keropok segera pada Program Seminar Borong Barang dari Yiwu International Commodities Fair 2019 di Dewan Konvensyen Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ghazali Kori.
HAWA menunjukkan produk keropok segera pada Program Seminar Borong Barang dari Yiwu International Commodities Fair 2019 di Dewan Konvensyen Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ghazali Kori.
Ahmad Rabiul Zulkifli


“SAYA ingatkan perniagaan keropok segera dijalankan ini hanya terhad di tepi jalan sahaja, tetapi Alhamdulillah, akhirnya ia berkembang hingga ke luar negara,” kata Hawa Abdul Rahman, 58, pengusaha keropok segera jenama Tok Yam.

Hawa berkata, keropok segera itu hanya di jual di tepi jalan ketika dia mengambil alih perniagaan diusahakan arwah ibunya pada 2015.

Menurutnya, dia meneruskan perusahaan keropok segera daripada arwah ibu kerana keropok itu mempunyai penggemarnya tersendiri.

“Rugi jika perusahaan itu berakhir begitu sahaja, justeru saya meneruskannya pada 2015. Saya hanya bermula dengan berniaga di tepi jalan dan tidak sangka kini ia berkembang hingga ke luar negara.

“Alhamdulillah ia hasil bimbingan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan saya berjaya mendapatkan geran inovasi bernilai RM250,000 untuk memajukan perniagaan ini,” katanya yang tinggal di Bukit Kor, Marang.

Dia ditemui pada Taklimat Program Seminar Borong Barang dari Yiwu International Commodities Fair 2019 di Dewan Konvensyen Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di Kuala Terengganu, hari ini.

Hawa berkata, dia mengeluarkan keropok segera, keropok keping mini dan keropok ikan tamban, selain sos pencicah.

“Sebanyak satu hingga dua tan keropok dikeluarkan pada setiap bulan untuk dipasarkan ke Sudan, Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak, selain dijual di koperasi sekolah.

“Ketika ini, saya dalam proses mencari pasaran di Jepun dan China. Justeru saya akan menyertai Gulfood Japan 2019 pada Mac ini.

“Saya akan memperkenalkan keropok segera ini ke pasaran China melalui Yiwu International Commodities Fair 2019 pada Mei ini,” katanya.

Menurutnya, dia seronok apabila keropok segera resipi turun-temurun diusahakan itu mendapat sambutan ramai.

“Ternyata, tanggapan saya terhadap perusahaan dijalankan arwah ibu silap. Dulu saya fikir perniagaan itu hanya terhad untuk pasaran di tepi jalan sahaja.

“Tetapi rupanya berpotensi berkembang hingga ke pasaran antarabangsa, jika kena dengan caranya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 9:34 PM