MOHD Nurkhuzaini (dua kiri) bermesra dengan sebahagian usahawan selepas merasmikan majlis penutup kursus rancangan perniagaan Program Usahawan Graduan Terengganu (PUGT). FOTO Baharom Bakar
MOHD Nurkhuzaini (dua kiri) bermesra dengan sebahagian usahawan selepas merasmikan majlis penutup kursus rancangan perniagaan Program Usahawan Graduan Terengganu (PUGT). FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


GRADUAN menganggur yang berjaya menamatkan latihan pembentukan usahawan anjuran kerajaan negeri Terengganu dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), berpeluang mendapatkan kemudahan Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPMJ) disediakan MARA.

Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata MARA sedia menawarkan pembiayaan SPMJ sehingga RM50,000 tanpa penjamin dan cagaran kepada semua peserta program itu yang dikenali Program Usahawan Graduan Terengganu (PUGT).

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga menyediakan elaun RM1,000 sebulan selama 12 bulan kepada graduan menganggur yang berminat menceburi bidang perniagaan dan terpilih menyertai Latihan Pembentukan Usahawan (LPU) dianjurkan YPU.

“Seramai 135 graduan menganggur dipilih menyertai PUGT sejak diperkenalkan kerajaan negeri pada 2014 dan 117 atau 87 peratus berjaya menamatkan latihan dan menjadi usahawan,” katanya selepas merasmikan Kursus Rancangan Perniagaan kepada peserta PUGT, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Rozali Salleh dan Pengarah MARA negeri, Mohd Azli Sobi.

Mohd Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kota Putera berkata, kerajaan negeri bersetuju meneruskan PUGT bagi memberi peluang kepada graduan menganggur menceburi bidang keusahawanan.

Katanya, Tabung Usahawan Terengganu (TUT) turut ditubuhkan untuk membiayai latihan keusahawanan kepada graduan menganggur yang berminat menceburinya, tahun depan.

“YPU sudah diarah untuk menyediakan kertas cadangan bajet untuk dikemukakan kepada Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum dibentangkan pada persidangan Bajet 2019 yang dijangka November depan.

“Melalui Bajet 2019, kerajaan negeri bercadang memohon peruntukan sebanyak RM10 juta untuk tabung berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 6:52 PM