ANGGOTA APM Baling menunjukkan ular sawa yang berjaya ditangkap selepas menelan seekor anak lembu. FOTO ihsan APM
ANGGOTA APM Baling menunjukkan ular sawa yang berjaya ditangkap selepas menelan seekor anak lembu. FOTO ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Baling: "Tak pernah lagi saya jumpa ular sawa sepanjang itu, dengan perutnya besar dan dipercayai baru lepas menelan anak lembu," kata Mohd Khatib Ismail, 59.

Mohd Khatib adalah penduduk Kampung Weng Dalam yang menemui ular sawa yang kekenyangan itu dalam kebun getah di kampung berkenaan.

Katanya, dia yang ternampak ular sawa berkenaan di tengah kebun getah itu sewaktu meronda di kawasan berkenaan dan kemudian mendekati reptilia itu sebelum mendapati ia kekenyangan.

"Saya kemudian meminta bantuan beberapa penoreh getah berhampiran kawasan itu dan mengikat mulut ular sawa berkenaan menggunakan tali sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling.

"Ketika itu, ada penduduk kampung memberitahu anak lembu peliharaannya hilang, jadi mungkin ular sawa itu yang menelannya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Abd Aziz berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira satu jam untuk menangkap ular sawa sepanjang 5.5 meter itu dan beratnya 90 kilogram (kg).

"Anggota APM Baling juga terpaksa mengangkat ular sawa itu dengan bantuan penduduk kampung menggunakan lori disebabkan saiznya yang berat sebelum membawanya balik ke pejabat.

"Reptilia itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 6:20 PM