ANGGOTA APM menunjukkan ular sawa yang ditangkap. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM menunjukkan ular sawa yang ditangkap. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


BERDEPAN ular sawa seberat 90 kilogram dan 10 meter panjang bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika usaha itu dilakukan wanita.

Bagaimanapun, tiga anggota wanita Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Padang Terap membuktikan kepakaran menangkap reptilia itu di Kampung Jelutong, Padang Terap, awal pagi ini.

Reptilia itu ditangkap Nurul Nadya Yahya, 25, Nur Ashila Zulkefli, 27 dan Hasniza Yahya, 38 dalam masa 40 minit.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan Mohd Shukri Shuib berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk jam 2.48 pagi mengenai penemuan ular sawa di dalam reban.

Terdahulu, penduduk berkenaan mendengar kokokan ayam sebelum pemeriksaan terdapat seekor ular sawa yang sudah kekenyangan selepas menelan 10 ekor ayam miliknya.

Menurutnya, tiga anggotanya tiba di lokasi jam 3 pagi dan mendapati ular sawa berkenaan masih berada dalam reban berkenaan.

“Anggota mengambil masa 40 minit untuk menangkap reptilia itu menggunakan peralatan khas, malah ular berkenaan turut bertindak agresif walaupun sudah kekenyangan.

“Ini adalah ular sawa terbesar dan terpanjang yang pernah ditangkap anggota APM Padang Terap sepanjang tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shukri berkata, ular sawa itu kemudian dibawa ke pejabat APM untuk mendapat perlindungan sementara sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 9:35 AM