NG Jiun Loong dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM1,000 kerana mencuri pelbagai barangan termasuk tuala mandi milik sebuah hotel bulan lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
NG Jiun Loong dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM1,000 kerana mencuri pelbagai barangan termasuk tuala mandi milik sebuah hotel bulan lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Penganggur dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas kesalahan mencuri barangan milik sebuah hotel empat bintang bernilai RM585, bulan lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Ng Jiun Loong, 30, sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat mencuri barangan bernilai keseluruhan kira-kira RM585 di dalam bilik sebuah hotel di Jalan Tun Sri Lanang, di sini, kira-kira 1.30 tengah hari pada 23 Oktober lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nor Asnini memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh, namun Jiun Loong merayu hukuman ringan kerana tidak bekerja selain sedang menjalani rawatan bagi penyakit autoimun kronik.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bermula dari tarikh tangkap pada 3 November lalu dan denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal bayar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 3:04 PM